Am 21/10/2026 08:21 PM

Podcast TDM Tonjol Sisi Di Sebalik Tabir Kehidupan Tentera

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Podcast TDM Tonjol Sisi Di Sebalik Tabir Kehidupan Tentera
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman ketika ditemu bual dalam Podcast Tentera Darat pada Majlis Soft Launch (pelancaran awal) Filem Takluk 2: Op Daulat di Wisma Pertahanan hari ini.

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) memperkenalkan “Podcast Tentera Darat” sebagai platform komunikasi strategik digital dalam mendekatkan golongan itu dengan masyarakat menerusi perkongsian pengalaman, pencapaian, kepimpinan dan kisah di sebalik tabir penugasan.

TDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu dapat memperluas pemahaman orang ramai mengenai peranan tentera dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara yang jarang diketengahkan menerusi saluran konvensional.

“Podcast ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluas penyampaian maklumat dan komunikasi strategik TDM melalui platform digital yang lebih interaktif dan informatif.

“Platform ini turut mengetengahkan penglibatan anggota tentera di belakang tadbir dalam setiap operasi, misi dan lain-lain penugasan, selain diharap dapat menarik minat generasi muda sekali gus mempromosikan kerjaya tentera darat dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Podcast itu dilancarkan pada Majlis Prapelancaran dan Menandatangani Ikatan Perjanjian Filem Takluk 2: Op Daulat yang berlangsung di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Menurut kenyataan itu, podcast berkenaan melibatkan pelbagai topik berkaitan ketenteraan, kepimpinan, pembangunan kerjaya dan hala tuju organisasi, serta membuka ruang kepada warga tentera berkongsi pandangan serta aspirasi sepanjang perkhidmatan mereka.

TDM memaklumkan, episod pertama podcast yang akan disiarkan menerusi platform YouTube bakal menampilkan Azhan, manakala episod seterusnya disusuli dengan penampilan anggota daripada unit lain termasuk Kor Risik Tentera Darat.

“Episod pertama akan disiarkan esok, manakala episod seterusnya akan diterbitkan setiap dua minggu. Pendekatan ini juga dapat memperkukuh imej TDM sebagai angkatan yang profesional, moden dan diyakini rakyat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA