SUNGAI BULOH, 21 Okt (Bernama) -- Tiga penjawat awam antara 27 lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penjualan dan pemprosesan daun serta air ketum di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Zainudin Abdullah berkata kesemua individu berusia antara 19 hingga 61 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pada 6 pagi sebelum dibawa ke Pejabat AADK Daerah Petaling untuk proses dokumentasi.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi setiap hari dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan menerima antara 30 hingga 50 pelanggan sehari.
“Nilai jualan ketum di lokasi itu dianggarkan antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari, dengan air ketum dijual pada harga RM10 bagi satu peket kecil plastik dan RM20 bagi botol berisi 1.5 liter.
“Daun ketum mentah pula dijual pada harga antara RM20 hingga RM40 sekilogram, manakala bahan mentah itu diperoleh dari Kedah pada harga RM12 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.
Zainudin berkata kegiatan di premis berkenaan turut menawarkan ubat batuk berdasarkan permintaan pelanggan, yang dipercayai digunakan untuk dicampurkan ke dalam air ketum.
Beliau berkata bahan yang dirampas termasuk daun dan air ketum, akan diserahkan untuk siasatan lanjut dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.
“Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada Ops Perdana peringkat Selangor yang dijalankan serentak di enam daerah bermula Isnin lepas hingga hari ini bagi membenteras aktiviti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata siasatan AADK mendapati penglibatan individu dalam penyalahgunaan ketum semakin meningkat susulan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada Ogos 2025, sekali gus membolehkan agensi itu mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan bahan berkenaan.
Sementara itu, tinjauan di premis di atas lot tanah berhampiran sungai itu menemukan tiga periuk besar dengan setiap periuk didapati mampu merebus kira-kira 20 kilogram daun ketum pada satu-satu masa, manakala daun ketum yang belum direbus disimpan di dalam bilik memiliki penyaman udara bagi mengelak daripada layu.
Premis itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), selain mempunyai tingkap kecil dan butang loceng di sebelah pintu hadapan yang dipercayai digunakan bagi urusan jual beli.
Tanda harga, nombor telefon dan kod respons pantas (QR) turut dipaparkan pada dinding bersebelahan tingkap berkenaan.
-- BERNAMA