Am 21/10/2026 06:24 PM

Dua Ditemukan Lemas Di Air Terjun Lubuk Tupai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Ditemukan Lemas Di Air Terjun Lubuk Tupai
Kredit: JBPM Selangor

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Dua lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 12.13 tengah hari tadi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Pasukan Bomba Sukarela Batang Kali digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata dua mangsa berusia 21 dan 23 tahun bersama dengan empat rakan mereka menjalankan aktiviti mendaki sebelum sampai di lokasi kejadian.

“Dua mangsa terbabit dilaporkan mandi di sungai itu sebelum disyaki dibawa arus deras dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan.

Ashrul Riezal berkata dua mangsa tersebut ditemukan masing-masing pada 2.15 petang dan 2.25 petang tadi di dasar air terjun pada kedalaman lima meter, sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.20 petang.

-- BERNAMA