Am 21/10/2026 06:11 PM

Suri Rumah, Golongan Muda Sifatkan Tambang ECRL Sesuai Dengan Kelebihan Ditawarkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Suri Rumah, Golongan Muda Sifatkan Tambang ECRL Sesuai Dengan Kelebihan Ditawarkan

KUALA TERENGGANU, 21 Okt (Bernama) -- Golongan muda dan suri rumah di Terengganu menyifatkan tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan baru-baru ini adalah berpatutan dan berbaloi dengan kelebihan yang ditawarkan.

Ibu kepada dua anak, Nurul Asyikin Mohd Nazri, 25, yang tinggal di Kluang, Johor berkata dengan tawaran harga tersebut beliau dapat pulang sendiri ke kampungnya di Bukit Payong, Marang, setiap kali apabila suaminya, seorang anggota tentera menyertai operasi atau kursus jangka panjang.

“Contohnya, pada Mei lepas suami saya menghadiri kursus tiga bulan di Kedah, jadi saya terpaksa meminta ibu bapa saya di Marang mengambil saya dan anak-anak di Kluang kerana saya tidak mempunyai lesen memandu. Anak-anak pula baru berusia dua dan tiga tahun jadi sukar untuk saya menaiki bas menempuh perjalanan yang lama. 

“Dengan adanya ECRL apatah lagi kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun menikmati potongan harga 50 peratus, pastinya selepas ini saya akan menaiki ECRL untuk pulang ke Terengganu. Tidak perlulah ayah saya memandu jauh dari Terengganu mengambil saya, suami saya juga tidak perlu datang dari Johor atau mana-mana lokasi kursusnya untuk mengambil saya semula di Terengganu,” katanya kepada Bernama.

Nurul Asyikin berkata setelah beroperasinya perkhidmatan tersebut pada Disember nanti, suami atau keluarga iparnya di Johor hanya perlu menghantarnya ke stesen ECRL di Gombak dan beliau bersama anak-anak akan sampai ke Terengganu hanya dalam tempoh sekitar tiga jam berbanding lima hingga enam jam sekiranya menaiki kereta. 

Pegawai Tadbir di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Nerus, Nurul Nabila Hasnor Zubaidy, 27, berkata ketika tambang ECRL diumumkan pada Isnin lepas, beliau merasaikan harga yang ditawarkan agak mahal.

Walau bagaimanapun, Nurul Nabila yang sering ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi dan kerja, berkata setelah meneliti kadar ditetapkan dan membuat perbandingan dengan perkhidmatan pengangkutan lain seperti bas ekspres dan pesawat, beliau mengakui ECRL pilihan yang praktikal untuk perjalanan jauh kerana masa yang singkat dan selesa. 

“Sebagai seorang yang sering ke Kuala Lumpur bersendirian, saya berpendapat tambangnya agak berpatutan dengan mengambil kira kelebihan ECRL. Contohnya, saya biasanya menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. Walaupun penerbangan hanya mengambil masa sekitar 45 minit namun ia melibatkan pelbagai proses seperti daftar masuk bagasi, pemeriksaan keselamatan dan sebagainya yang memerlukan  penumpang berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam lebih awal.

“Begitu juga dengan bas yang mengambil masa lama dan kalau tidak bernasib baik seperti musim cuti sekolah dan perayaan, kita berisiko berdepan kesesakan lalu lintas yang memanjangkan lagi tempoh perjalanan,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, katanya dari segi kemudahan dan keselesaan, ECRL menawarkan alternatif pengangkutan yang lebih baik khususnya bagi mereka yang ingin pulang ke kampung pada musim perayaan, dengan kadar tambang yang disifatkan berpatutan. 

Dalam pada itu, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ahmad Sobirin Sugeng, 20, berkata tambang yang ditawarkan masih berbaloi meskipun lebih mahal sedikit berbanding perkhidmatan bas ekspres, kerana ECRL mampu menjimatkan masa perjalanannya untuk pulang ke kampung di Klang, Selangor.

Selain itu, penuntut jurusan Perniagaan dan Pengurusan itu turut menyifatkan tawaran diskaun 40 peratus kepada pelajar berumur 13 hingga 24 tahun itu membuatkan perkhidmatan ECRL akan menjadi pilihan, khususnya bagi golongan muda yang sering berulang-alik antara kampung halaman dan institusi pengajian.

“Meskipun ECRL belum beroperasi, saya telah merancang perjalanan untuk menggunakan perkhidmatan itu pada hujung tahun ini dan tahun depan,” katanya. 

Pelajar Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Siti Nor Nabilah Azman, 26, berkata perkhidmatan keretapi seperti ECRL merupakan kemudahan yang sekian lama dinantikan sejak menuntut di Terengganu tiga tahun lepas kerana tidak lagi perlu menempuh perjalanan yang panjang untuk pulang ke Muar, Johor.

“Selama ini saya hanya menaiki bas ekspres untuk pulang ke berulang-alik ke Johor. Kadang-kadang tiket bas dari Terengganu ke Johor habis jadi saya perlu turun ke Terminal Bas Bersepadu di Kuala Lumpur terlebih dahulu untuk membeli tiket ke Muar pula. Jadi, saya menghabiskan masa sehari suntuk untuk balik ke Johor,” katanya. 

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.

Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang transit bermula RM95 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bermula RM110. Perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer pula, tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.

Darwis berkata diskaun sebanyak 50 peratus diberikan bagi kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) serta pesara kerajaan, manakala pelajar berumur 13 hingga 24 tahun layak mendapat diskaun 40 peratus.

-- BERNAMA