Am 21/10/2026 08:48 PM

Pelajar Dipercayai Cederakan Guru Di Sekolah Antarabangsa Di Kuching

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelajar Dipercayai Cederakan Guru Di Sekolah Antarabangsa Di Kuching
Kredit orang awam

KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Seorang guru wanita cedera selepas dipercayai diserang seorang pelajar lelaki tingkatan empat, di sebuah sekolah antarabangsa di sini.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan senjata yang ditemukan, ialah pisau kecil jenis penknife dan juga kapak kecil.

“Butiran lanjut berhubung kejadian itu akan disampaikan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati, keadaan di pekarangan sekolah itu tenang dengan beberapa pihak media berada di lokasi.

Terdahulu, tular video seorang pelajar bertindak menyerang seorang individu wanita yang dipercayai gurunya.

Sementara itu, Saifullizan berkata pelajar tersebut ditahan pagi tadi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957. 

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian dan mendapatkan bukti berkaitan,” katanya. 

-- BERNAMA