Ekonomi 21/10/2026 04:35 PM

Ekonomi Digital Perlu Berlandaskan Persaingan Adil, Lindungi PMKS - PM Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ekonomi Digital Perlu Berlandaskan Persaingan Adil, Lindungi PMKS - PM Anwar
Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi digital negara perlu berlandaskan persaingan yang adil termasuk menangani amalan platform digital yang boleh membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini termasuk melalui komisen tinggi, terma kontrak yang mengekang dan kawalan terhadap data pengguna yang boleh menjejaskan perniagaan tempatan.

“Kita mahu ekonomi digital yang bukan sahaja menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan, malah membuka peluang yang adil kepada perniagaan tempatan, memudahkan urusan rakyat dan membawa manfaat yang dapat dirasai bersama,” kata beliau menerusi hantaran di laman X hari ini.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bilangan 3 Tahun 2026 bagi meneliti kemajuan ekonomi digital negara dan langkah memperkukuh daya saing Malaysia dalam mendepani perkembangan teknologi.

“Antara perkara yang diberi perhatian ialah pengukuhan infrastruktur digital, penjimatan perbelanjaan ICT kerajaan dan dapatan kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai persaingan dalam ekosistem ekonomi digital,” kata Perdana Menteri. 

Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan PMKS bagi mendepani cabaran ekonomi global menerusi peningkatan akses pembiayaan, pengurangan kos serta penambahbaikan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata komitmen itu antara lain diterjemah menerusi penyediaan kemudahan pembiayaan berjumlah RM57 bilion kepada sektor berkenaan, meningkat daripada RM50 bilion sebelum ini sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah.

-- BERNAMA