KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak memperluas akses jalan raya ke kawasan sempadan Tebedu–Entikong bagi memudah dan memperkukuh perdagangan rentas sempadan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata perdagangan rentas sempadan menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pasaran untuk perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menarik pelaburan dan menjana peluang pekerjaan dalam kalangan komuniti di sempadan.
“Kami juga akan terus berurusan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengusahakan penaiktarafan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tebedu serta meningkatkan keterhubungan rentas sempadan,” katanya semasa mengulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata kerajaan negeri telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak yang dijangka siap pada suku keempat 2026.
Beliau berkata kajian itu akan mengenal pasti projek keutamaan termasuk cadangan menaik taraf ICQS Biawak di Lundu dengan pelaksanaannya akan dijalankan secara berfasa, tertakluk kepada peruntukan kewangan dan kelulusan yang diperlukan.
“Bagi memperkukuh hubungan ekonomi dengan Kalimantan Barat, cadangan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Pontianak yang disasarkan mula beroperasi pada 2027 akan memudah cara perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kerjasama perniagaan,” katanya.
-- BERNAMA