Am 21/10/2026 01:53 PM

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR,  21 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia sedikit tinggi pada tengah hari ini dalam persekitaran dagangan yang berhati-hati.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.24 mata atau 0.07 peratus kepada 1,600.82 berbanding paras penutup Selasa pada 1,599.58.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.83 mata lebih tinggi pada 1,603.41 sebelum bergerak antara 1,596.69 hingga 1,604.13 sepanjang sesi.

Sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 481 berbanding 373, manakala 484 kaunter tidak berubah, 1,523 tidak diniagakan dan 20 digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.57 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.

Apex Securities Bhd menjangkakan FBM KLCI kekal tidak menentu, dengan potensi pemulihan disokong prestasi Wall Street semalaman yang bercampur-campur tetapi secara keseluruhannya positif.

Firma pembrokeran saham itu berkata penurunan harga minyak dan penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mungkin sedikit melegakan sentimen pasaran dengan mengurangkan tekanan inflasi dan kebimbangan mengenai kos pinjaman.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik yang berterusan serta kelemahan saham teknologi serantau boleh terus menjejaskan selera risiko pelabur.

“Pelabur juga akan memantau keputusan kewangan Tesla dan Meta yang bakal diumumkan bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai pulangan pelaburan kecerdasan buatan (AI) serta perancangan perbelanjaan korporat, yang boleh mempengaruhi sentimen sektor teknologi global,” menurut firma pembrokeran saham itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Di dalam negara, Apex Securities berkata aliran keluar dana asing yang berterusan kekal sebagai cabaran utama meskipun pertumbuhan ekonomi Malaysia berdaya tahan.

Sementara itu, penurunan FBM KLCI di bawah paras 1,600 baru-baru ini mungkin mendorong pembelian terpilih terhadap saham syarikat mempunyai asas kukuh yang berpenilaian menarik dan menawarkan hasil dividen yang baik.

“Bagaimanapun, pemulihan yang berterusan berkemungkinan bergantung pada kestabilan aliran dana asing dan peningkatan keluasan pasaran,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.98, Press Metal menambah enam sen kepada RM6.81 dan YTL Power naik dua sen kepada RM5.32.

TNB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM13.06 dan RM7.91, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.71.

Dalam dagangan aktif, NWE menambah tiga sen kepada 23 sen, JAKS meningkat dua sen kepada 16 sen, Top Glove naik setengah sen kepada 91.5 sen, Zetrix AI tidak berubah pada 5.5 sen, manakala Land & General susut setengah sen kepada 17.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Vitrox melonjak 32 sen kepada RM10.62, UWC meningkat 26 sen kepada RM7.22, Hong Leong Bank menambah 24 sen kepada RM21.44 dan MI Technology naik 21 sen kepada RM6.59.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Batu Kawan susut 42 sen kepada RM18.88, Allianz Malaysia turun 18 sen kepada RM19.22, Kluang Rubber merosot 10 sen kepada RM6.45 dan ITMAX berkurangan sembilan sen kepada RM4.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 81.36 mata kepada 17,132.56, Indeks FBM Emas menambah 25.21 mata kepada 11,932.81, manakala Indeks FBM Top 100 naik 21.09 mata kepada 11,732.52.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 37.06 mata kepada 11,885.92, manakala Indeks FBM ACE menambah 63.29 mata kepada 5,349.77.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.52 mata kepada 174.90, Indeks Perladangan menambah 5.65 mata kepada 8,590.79 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 16.24 mata kepada 18,575.21, manakala Indeks Tenaga susut 2.78 mata kepada 820.10.

-- BERNAMA