Ekonomi 21/10/2026 01:23 PM

NWE Resources Manfaat Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 Bagi Perniagaan Kemudahan Hospitaliti

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
NWE Resources Manfaat Tahun Melawat Malaysia  2026-2027 Bagi Perniagaan Kemudahan Hospitaliti

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- NWE Resources Group Bhd (NWE Resources) menjangkakan perniagaan kemudahan hospitalitinya akan menerima manfaat daripada pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sehingga 2027, disokong oleh jangkaan peningkatan tempahan hotel dan promosi pelancongan oleh kerajaan. 

Pengarah Eksekutifnya, Tan Chor Han berkata tempahan hotel meningkat pada separuh kedua 2026 selepas prestasi bercampur-campur pada separuh pertama, sebahagiannya disebabkan oleh konflik Asia Barat.

“Kami menjangkakan menjelang 2027, iaitu dengan lanjutan tempoh kempen Tahun Melawat Malaysia, ia akan memberi manfaat kepada kami, ditambah pula dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM935 juta bagi sektor pelancongan, yang dijangka dapat menyokong industri ini,” katanya kepada media bersempena majlis penyenaraian syarikat itu di sini pada Rabu.  

Pada pembukaan, syarikat itu memulakan dagangan pada harga 22 sen pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, mencatatkan premium sebanyak dua sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen, dengan 22.59 juta saham diniagakan.

NWE Resources iaitu penyedia kemudahan hospitaliti, produk penjagaan diri dan makanan kesihatan, turut mempertingkatkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG) dengan penawaran produk yang mampan.

Tan berkata syarikat itu bekerjasama dengan pihak hotel bagi mengurangkan sisa plastik dengan membekalkan botol bersaiz besar isian semula dan berus gigi kayu sebagai alternatif kepada produk plastik.

Beliau berkata, syarikat tersebut turut menjalin kerjasama dengan beberapa hotel dalam inisiatif kitar semula sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong komitmen kelestarian mereka.

“Bagi saluran perniagaan ke pengguna kami sendiri, apa yang kami sasarkan ialah sudah pasti untuk mengurangkan sisa pembungkusan dan melaksanakan inisiatif tenaga solar susulan IPO syarikat, bagi mengurangkan penggunaan tenaga,” katanya.

Selain itu, Tan berkata syarikat itu merancang untuk menubuhkan pejabat jualan di Johor bagi menyokong pengedar sedia ada dan memperkukuh pertumbuhan perniagaannya di seluruh Malaysia.

NWE Resources telah memperuntukkan sebanyak RM9.1 juta bagi pembangunan produk baharu dan RM1.2 juta bagi mengembangkan keupayaan penyelidikan dan pembangunannya, dengan produk itu dijangka dilancarkan dalam tempoh 24 bulan akan datang.

“Kami mempunyai sekurang-kurangnya 11 produk dalam perancangan, merangkumi enam produk makanan kesihatan yang memberi tumpuan kepada kesihatan usus dan lima produk penjagaan kulit, termasuk serum, pelindung matahari serta pelembap, yang dijangka menyumbang kepada hasil dan keuntungan kami,” katanya.

-- BERNAMA