Am 21/10/2026 12:01 PM

Mohd Shuhaily Masih Bertugas Seperti Biasa - Peguam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mohd Shuhaily Masih Bertugas Seperti Biasa - Peguam
Datuk Rosal Azimin Ahmad, peguam kepada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Sepang hari ini. Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis. Mohd Shuhaily, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani dan meminta dibicarakan. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEPANG, 21 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa sehingga dimaklumkan sebaliknya, kata peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Beliau yang mewakili Mohd Shuhaily berkata sebarang keputusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah AKPS itu, tertakluk kepada proses pentadbiran dan peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

“Saya rasa sebagai penjawat awam, beliau tetap akan bertugas sehinggalah diberitahu sebaliknya sama ada oleh KDN, JPA dan sebagainya ikut (tatacara) proses penjawat awam biasa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah membabitkan Mohd Shuhaily di sini hari ini.

Rosal Azimin berkata Mohd Shuhaily selesai menjalani proses jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan, dan kes itu akan disebut semula di Mahkamah Majistret Sepang pada 25 Nov.

Beliau meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, memandangkan prosiding mahkamah masih berjalan dan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dihormati.

“Kita tak boleh nak bercakap banyak tentang kes. It’s a process of court. Saya harap semua juga jangan bercakap apa-apa, tak perlu berkata apa-apa. It’s on the principle of innocent until proven guilty,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan semasa Mohd Shuhaily, beliau berkata anak guamnya itu kini dalam keadaan baik dan positif untuk melalui semua proses perundangan yang ada.

“Macam kata dialah: “If this is the price I have to pay, then I’ll pay. Then let’s go with it”. Macam itulah. Tapi dia tidak menyalahkan sesiapalah,” katanya. 

Terdahulu, Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis.

Mohd Shuhaily, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani dan meminta dibicarakan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA