KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Seramai 22,849 bakat dilatih bagi sektor semikonduktor setakat suku ketiga 2026, sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sasaran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata program pembangunan bakat itu dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan teknikal bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor yang semakin kompleks.
“Pencapaian ini menunjukkan kemajuan ke arah sasaran 60,000 tersebut. Bagaimanapun, usaha berterusan masih diperlukan untuk memastikan bekalan bakat bukan sahaja mencukupi dari segi bilangan, tetapi turut memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran industri semikonduktor yang semakin kompleks,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status terkini pembangunan 60,000 bakat semikonduktor di bawah NSS, termasuk penempatan mengikut subsektor dan kadar pengekalan bakat dalam ekosistem tempatan.
Johari berkata pembangunan bakat dilaksanakan secara bersepadu melalui peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada, pengukuhan latihan teknikal dan vokasional serta pemerkasaan kerjasama industri dengan institusi akademik.
Antara inisiatif berkenaan ialah program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI) menerusi Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dengan kerjasama strategik Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Program itu memberikan tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja serta kebolehpasaran graduan.
Beliau berkata latihan berkenaan merangkumi bidang strategik seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju, fabrikasi wafer, sistem terbenam dan proses automasi bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi memperkukuh kerjasama universiti dengan industri, termasuk menerusi program francais Kejuruteraan Elektronik bersama ViTrox, pembangunan silibus pembungkusan elektronik termaju bersama Intel serta kurikulum pemasangan, pengujian, penandaan dan pembungkusan semikonduktor bersama Micron.
Johari berkata Jabatan Tenaga Manusia juga sedang dalam proses menubuhkan Akademi Semikonduktor KESUMA di Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Pulau Pinang, bagi memperkukuh kapasiti latihan dalam bidang reka bentuk IC, fabrikasi IC dan pembungkusan IC termaju, tambah beliau.
Mengenai penempatan dan pengekalan bakat, beliau berkata data terperinci mengikut subsektor serta kadar pengekalan dalam ekosistem tempatan masih belum dapat diperincikan sepenuhnya.
“MITI sedang menyelaras pengumpulan data bersama Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, agensi pelaksana, institusi pendidikan dan pihak industri bagi memperincikan bilangan bakat yang ditempatkan mengikut subsektor serta kadar pengekalan bakar dalam ekosistem tempatan.
“Kerajaan mengakui bahawa keberkesanan pembangunan bakat semikonduktor bukan sahaja diukur berdasarkan bilangan individu yang telah dilatih, tetapi sejauh mana mereka berjaya ditempatkan dalam industri, kesesuaian kemahiran dengan keperluan majikan serta keupayaan mengekalkan bakat dalam ekosistem semikonduktor tempatan,” kata beliau.
Beliau berkata maklumat itu penting bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan bakat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan aktiviti bernilai tambah tinggi di Malaysia.
– BERNAMA