Am 21/10/2026 08:49 AM

Banjir Landa Hulu Perak, Dua PPS Dibuka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir Landa Hulu Perak, Dua PPS Dibuka
-- Gambar hiasan

IPOH, 21 Okt (Bernama) -- Banjir kembali melanda Perak susulan kejadian air naik di beberapa kampung di Gerik di Daerah Hulu Perak berikutan hujan berterusan sejak malam tadi, melibatkan 120 mangsa daripada 36 keluarga, setakat pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak tengah malam semalam iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II dan SMK Gerik.

“96 mangsa daripada 31 keluarga berlindung di PPS SMK Gerik, manakala 24 mangsa daripada lima keluarga berlindung di Sultan Idris Shah II, apabila beberapa kawasan di Kampung Air Panas dan Kampung Padang dinaiki air,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, masih terdapat 37 mangsa daripada 14 keluarga berlindung di PPS SK Matang, selepas kejadian ribut menjejaskan penduduk di Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang, minggu lepas.

-- BERNAMA