PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan EHang telah memulakan kerjasama “sandbox” untuk menilai pertimbangan keselamatan, teknikal dan kawal selia berkaitan cadangan aktiviti Mobiliti Udara Termaju (AAM) syarikat tersebut, di Malaysia.
CAAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama itu, akan menyediakan platform untuk mengkaji aspek teknikal dan operasi pesawat berlepas dan mendarat menegak berkuasa elektrik (eVTOL).
“Bidang penilaian termasuk kelayakan terbang, keselamatan operasi, kecekapan kakitangan dan pengaturan penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan CAAM, EHang akan menyokong penilaian pihak berkuasa terhadap cadangan aktivitinya di Malaysia, sambil menambah bahawa sebarang cadangan demonstrasi atau percubaan akan dipertimbangkan secara berasingan dan hanya boleh diteruskan selepas mendapat kelulusan yang diperlukan daripada CAAM serta pihak berkuasa berkaitan yang lain.
CAAM dalam kenyataan itu memakumkan bahawa kerjasama tersebut akan dijalankan atas kapasitinya sebagai pengawal selia penerbangan awam Malaysia, yang bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, sekuriti dan kecekapan sektor penerbangan awam negara, serta menyediakan perkhidmatan navigasi udara dan melindungi hak pengguna penerbangan.
“Sebarang operasi pada masa hadapan, akan tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kawal selia Malaysia, dengan kemajuan berpandukan penilaian keselamatan dan kesediaan operasi,” menurut kenyataan itu.
EHang, sebuah syarikat platform teknologi Mobiliti Udara Termaju global yang tersenarai di Nasdaq, pakar dalam penyelidikan, pembangunan, dan pembuatan pesawat berlepas dan mendarat menegak berkuasa elektrik tanpa juruterbang.
Penggunaannya merangkumi pelancongan udara, perjalanan ulang-alik dalam bandar, perjalanan antara bandar, pengangkutan logistik, dan pemadaman api kecemasan.
Menurut syarikat itu, Model utama syarikat EH216-S, telah memperoleh sijil “type”, pengeluaran dan kelayakan terbang standard untuk pesawat eVTOL yang membawa penumpang tanpa juruterbang daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).
Model VT35 jarak jauh EHang pula direka untuk memperluas potensi penggunaan teknologi tersebut bagi perjalanan antara bandar.
CAAM dan EHang menyatakan bahawa pembangunan AAM yang bertanggungjawab, memerlukan pendekatan berfasa yang disokong oleh bukti teknikal dan penilaian keselamatan yang komprehensif.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang teknologi penerbangan yang sedang membangun, sambil memastikan keselamatan dan kepentingan awam kekal menjadi keutamaan dalam potensi pengenalannya serta persiapan untuk operasi AAM komersial pada masa hadapan di Malaysia.
-- BERNAMA