Am 21/10/2026 12:12 PM

Terbuka Silicon Valley: Rachel, Aifa Mara Ke Pusingan Kedua

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Terbuka Silicon Valley: Rachel, Aifa Mara Ke Pusingan Kedua
Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pemain skuasy wanita negara Rachel Arnold melangkah ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Silicon Valley di Redwood City, Amerika Syarikat selepas menewaskan pemain Ukraine Alina Bushma pada Selasa.

Pada pusingan pusingan pertama berlangsung di SquashZone, pemain ranking ke-22 dunia itu tidak berdepan masalah mengalahkan lawannya yang menduduki kedudukan ke-47 dengan keputusan 11-6, 11-9, 13-15, 11-9.

Bagaimanapun ujian sebenar menanti Rachel pada pusingan kedua, apabila bertemu dengan pemain ranking ke-10 dunia dari Amerika Syarikat Amanda Sobhy, yang sebelum ini pernah menewaskannya dalam tiga pertemuan terdahulu.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain wanita negara Aifa Azman mengiringi kemaraan tersebut selepas menewaskan pemain Sepanyol Marta Dominguez 3-11, 11-2, 11-3, 11-9.

Menanti Aifa pada pusingan kedua ialah rakan senegara S.Sivasangari yang mendapat bye pada pusingan pertama.

-- BERNAMA