IPOH, 20 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima enam aduan rasmi daripada pekebun sawit di Kampung Perlop 1, Sungai Siput berhubung pencerobohan gajah liar yang memusnahkan tanaman serta kemudahan kebun milik mereka sepanjang tahun ini.
Pengarahnya Dr Pazil Abdul Patah berkata kumpulan gajah berkenaan dianggarkan berjumlah antara tiga hingga lapan ekor selain dipercayai datang dari Hutan Simpan Korbu yang terletak berhampiran kawasan tanaman kelapa sawit milik penduduk.
“Pada asalnya, kawanan gajah yang mengganggu Kampung Perlop 1 itu berasal dari Hutan Simpan Piah, Lenggong yang dianggarkan mempunyai keseluruhan sekitar 50 ekor, namun kini telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil.
“Perhilitan juga percaya gajah-gajah ini adalah kawanan sama yang menceroboh masuk ke kawasan pertanian buah-buahan sekitar Bukit Bangkong, Chemor pada 15 Okt lepas memandangkan kedua-dua kawasan berada dalam jajaran Hutan Simpan Korbu,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, sebanyak 18 pekebun sawit merayu tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi menangani pencerobohan mamalia berkenaan yang memusnahkan tanaman di kawasan seluas 80 hektar sejak awal bulan lepas.
Sebelum itu, dilaporkan 12 pekebun di Bukit Bangkong turut merayu tindakan sama dilakukan pihak berkuasa bagi memastikan dusun buah-buahan seluas 9.7 hektar di kawasan berkenaan tidak terdedah kepada ancaman berterusan gajah liar.
Sementara itu, Pazil berkata pihaknya sedang memantau pergerakan kumpulan gajah berkenaan bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk menangani konflik tersebut secara berkesan.
“Bagi jangka masa panjang, pihak jabatan menumpukan pendekatan mengenal pasti kawasan tumpuan konflik, memperkukuh sistem pelaporan awal serta meningkatkan program kesedaran komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pekebun yang terjejas supaya segera melaporkan kejadian kepada Perhilitan Perak bagi membolehkan permohonan Bantuan Kerosakan Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Haiwan Liar (BKHT) diproses mengikut syarat ditetapkan.
Katanya, pemohon disaran menyediakan maklumat mengenai lokasi kebun, jenis dan anggaran kerosakan, tarikh kejadian serta bukti sokongan seperti gambar kerosakan dan dokumen pemilikan atau pengusahaan tanah jika diperlukan.
-- BERNAMA