Am 20/10/2026 05:16 PM

Arkib Negara Galak Masyarakat Serah Bahan Dokumentasi Kearifan Lokal, Elak Ditelan Zaman

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Arkib Negara Galak Masyarakat Serah Bahan Dokumentasi Kearifan Lokal, Elak Ditelan Zaman
Ketua Pengarah Arkib Negara Zaidin Mohd Noor (kanan) bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bicara Warisan Adat Kehamilan dan Kelahiran Kaum di Negeri Perak di Dewan Bankuet FAMA, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, hari ini.

GOPENG, 20 Okt (Bernama) -- Arkib Negara Malaysia (ANM) menggalakkan masyarakat menyerahkan bahan dokumentasi berkaitan kearifan lokal, sejarah tempatan dan kepakaran komuniti bagi memastikan khazanah warisan berkenaan terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Ketua Pengarah ANM Zaidin Mohd Noor berkata bahan yang diserahkan akan disimpan dan dipelihara, selain dibuka kepada orang awam untuk rujukan serta penyelidikan.

Beliau berkata bahan berkenaan boleh merangkumi pelbagai bentuk dokumentasi termasuk dokumen, gambar serta rekod audio dan visual yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan pengetahuan tempatan.

“Arkib Negara menggalakkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kearifan lokal, kepakaran atau sejarah tempatan agar menyerahkannya kepada Arkib supaya menjadi khazanah warisan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Bicara Warisan Adat Kehamilan dan Kelahiran Kaum di Negeri Perak di Dewan Bankuet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Beliau berkata usaha mendapatkan bahan daripada masyarakat itu dilaksanakan menerusi pendekatan arkib komuniti bagi membolehkan rekod di luar lingkungan rekod rasmi kerajaan turut disimpan dan dipelihara.

“Dokumentasi berkaitan adat dan budaya masyarakat, termasuk amalan kehamilan dan kelahiran, penting untuk merekodkan pengetahuan tempatan yang mungkin tidak banyak didokumentasikan secara bertulis.

“Rekod komuniti juga boleh menjadi sumber penyelidikan bagi membantu masyarakat memahami kepakaran dan pengetahuan komuniti yang kurang mendapat perhatian dalam dokumentasi sejarah arus perdana,” katanya.

Zaidin berkata sebagai contoh, masyarakat Orang Asli seperti kaum Temiar mempunyai pengetahuan berkaitan tumbuhan dan alam semula jadi yang boleh dikaji bagi memperluas pemahaman tentang kearifan tempatan.

“Dengan adanya rekod yang disimpan, kami dapat maklumat yang lebih terperinci. Rekod-rekod ini kami buka kepada kajian supaya masyarakat boleh mengkaji masyarakat yang terpinggir itu dengan kepakaran mereka, berkaitan dengan pokok-pokok, alam semula jadi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata usaha mendapatkan rekod daripada masyarakat itu bukan sahaja terhad di Perak atau Malaysia, malah turut menjadi trend di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA