Am 20/10/2026 06:20 PM

Pinjaman Persahabatan: Jovian Mandagie Gagal Ketepi Perintah Bayar RM10 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pinjaman Persahabatan: Jovian Mandagie Gagal Ketepi Perintah Bayar RM10 Juta

PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pereka fesyen Datuk Jovian Mandagie untuk mengetepikan penghakiman terus yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada dua syarikat dalam saman berkaitan dakwaan pelanggaran perjanjian pinjaman persahabatan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters menolak rayuan itu menerusi keputusan majoriti 2-1.

Wong dan Mohd Firuz memutuskan keputusan majoriti itu manakala Peters menentang.

Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad, yang mewakili Bina Pragmatik Sdn Bhd dan Cekap Air Sdn Bhd, mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi Bernama.

Keputusan majoriti panel itu, yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian, berpandangan bahawa beban pembuktian terletak pada pereka fesyen berkenaan untuk menunjukkan kewujudan isu yang wajar dibicarakan namun beliau gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Peters pula berpendapat rayuan Jovian sepatutnya dibenarkan kerana tiada bukti dokumentari bertulis yang menyatakan terma pinjaman persahabatan ketika transaksi berkenaan dilakukan.

Mahkamah turut memerintahkan Jovian, yang juga bekas menantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membayar kos guaman sebanyak RM60,000. 

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah membenarkan permohonan Cekap Air dan Bina Pragmatik masing-masing pada 2 dan 4 April 2024 untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian serta memerintahkan beliau membayar RM5 juta kepada setiap syarikat.

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Kedua-dua syarikat telah memfailkan saman berasingan terhadap Jovian selepas beliau didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar persahabatan dengan pengarahnya, iaitu Azirul Salihin Anuar dan Yong Zhen Wei.

Cekap Air mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan ahli perniagaan itu pada 25 Februari 2022 dengan memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen berkenaan.

Bina Pragmatik pula mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dengan memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang sama.

Menurut kedua-dua syarikat, firma guaman itu mengesahkan penerimaan wang tersebut.

Kedua-dua plaintif berkata pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Mereka mendakwa pinjaman itu diberi dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan adalah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.

Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman itu dan sehingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan mereka mengalami kerugian. 

Pada prosiding hari ini, peguam Mohd Hafiz Mahmund dan Aawaisha Pillai mewakili Jovian manakala Siti Nur Athirazatti serta Muhammad Kausar Mohd Khairi hadir bagi pihak kedua-dua syarikat. 

-- BERNAMA