Am 20/10/2026 05:08 PM

SME Bank Salur RM2.8 Bilion Bagi Pembangunan Perusahaan Melalui Belanjawan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SME Bank Salur RM2.8 Bilion Bagi Pembangunan Perusahaan Melalui Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyambut baik mandat bernilai kira-kira RM2.8 bilion yang diterima melalui Belanjawan 2027 bagi memperkasa perusahaan Malaysia merentasi tujuh sektor keutamaan.

SME Bank iaitu anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (Kumpulan BPMB) menyatakan inisiatif berkenaan akan memperkasa pelbagai sektor.

Satu daripada sektor yang akan diperkasa iaitu pembangunan usahawan, pelancongan, kelestarian, industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, pengangkutan dan logistik, infrastruktur serta pemerkasaan eksport.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Samad Majid Zain berkata Belanjawan 2027 membuka peluang baharu kepada perusahaan Malaysia menerusi inisiatif strategik bernilai kira-kira RM2.8 bilion yang diamanahkan kepada SME Bank.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan mandat melebihi RM7 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada Kumpulan BPMB.

“Inisiatif ini mencerminkan penekanan terhadap produktiviti, kemampanan dan pembaharuan ekonomi di bawah peruntukan keseluruhan Belanjawan 2027 yang bernilai kira-kira RM510 bilion,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan hala tuju ini, beliau memberitahu SME Bank akan memanfaatkan keupayaan kolektif Kumpulan BPMB bagi membantu perusahaan mengguna pakai teknologi, beroperasi secara mampan, meningkatkan produktiviti dan meluaskan pasaran mereka.

Jelasnya, hal ini sekali gus menyokong mandat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk memajukan bidang keusahawanan di Malaysia.

“Seiring dengan rangka kerja pengukuran prestasi Bank Negara Malaysia, kami akan memberi keutamaan kepada impak pembangunan yang boleh diukur, impak tambahan serta penyampaian yang berkesan.

“Ini sekali gus membantu perniagaan menjadi lebih berdaya saing, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada komuniti yang lebih kukuh,” katanya.

-- BERNAMA