Am 20/10/2026 05:08 PM

Dewan Rakyat Cadang Pelan Induk Tangani Miskin Bandar, Gubal Akta Peruntukan Ahli Parlimen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dewan Rakyat Cadang Pelan Induk Tangani Miskin Bandar, Gubal Akta Peruntukan Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Isu miskin bandar, agihan peruntukan Ahli Parlimen dan usaha memperkukuh sektor kesihatan negara antara yang dibangkitkan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mencadangkan kerajaan mewujudkan pelan induk khusus bagi menangani kemiskinan di kawasan bandar dan separa bandar dalam tempoh lima tahun menerusi pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pelan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada aspek perumahan, kesihatan, pekerjaan, pendidikan, latihan kemahiran dan bantuan sosial bagi memastikan golongan berpendapatan rendah turut mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi negara.

“Suatu perancangan khusus hendaklah diadakan untuk memastikan golongan miskin bandar mendapat peluang ekonomi dan pendidikan untuk memajukan diri serta keluarga hasil daripada limpahan pembangunan di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata perancangan pembangunan di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru perlu mengambil kira usaha membasmi kemiskinan, khususnya dalam menyediakan peluang ekonomi dan pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencadangkan penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan Parlimen supaya semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik menerima peruntukan secara saksama.

Beliau berkata penggubalan akta itu boleh dilaksanakan oleh Majlis Perkhidmatan Parlimen susulan berkuat kuasanya Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

"Ini adalah bagi manfaat untuk semua rakyat. Saya harap Parlimen (Majlis Perkhidmatan Parlimen) boleh memulakan proses penggubalan akta tersebut," katanya.

P. Prabakaran (PH-Batu) pula menyokong langkah kerajaan menawarkan jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak tahun depan, namun katanya, kerajaan perlu memastikan laluan kerjaya mereka lebih jelas, peluang latihan mencukupi serta kebajikan seluruh petugas kesihatan diberi perhatian khususnya dalam aspek beban tugas dan keseimbangan waktu bekerja.

"Dalam masa sama, rakyat masih berhadapan dengan cabaran mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan termasuk tempoh menunggu yang panjang, kesesakan pesakit dan akses kepada rawatan pakar.

"Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan menilai keperluan penambahan doktor, jururawat dan petugas kesihatan berdasarkan jumlah penduduk dan beban pesakit di setiap fasiliti kesihatan," katanya.

Prabakaran berkata kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada kapasiti katil hospital, penyelenggaraan peralatan perubatan dan keperluan menaik taraf kemudahan sedia ada, selain memperkukuh perkhidmatan kesihatan premier dan saringan awal penyakit.

-- BERNAMA