KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Jepun mahu memperluas pertukaran pendidikan dua hala dengan Malaysia berteraskan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadi antara asas penting hubungan kedua-dua negara sejak lebih empat dekad lalu.
Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki berkata pendekatan yang disifatkannya sebagai dasar "saling memandang antara satu sama lain" itu akan memberi penekanan lebih besar terhadap pertukaran pendidikan secara timbal balik antara Malaysia dan Jepun.
Beliau berkata usaha itu termasuk memperluas peluang kepada generasi muda kedua-dua negara untuk melanjutkan pengajian, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan inovasi bersama.
"Menjelang tahun depan, saya berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk generasi muda Malaysia dan Jepun untuk belajar, membuat penyelidikan serta berinovasi bersama," kata beliau.
Shikata berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Penghargaan Menteri Luar Jepun 2026 kepada Presiden Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) Isrami Ismail di sini pada Selasa.
Beliau turut menggesa kerjasama dengan ALEPS dipertingkatkan memandangkan Malaysia dan Jepun bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatic pada 2027.
"Menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Jepun dan Malaysia pada 2027, saya berharap lebih banyak pertukaran dan kerjasama dapat dilaksanakan bersama ALEPS bagi merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara serta memperkukuh ikatan kepercayaan dan persahabatan antara kita," kata beliau.
Shikata menyatakan hasrat untuk mempererat hubungan dengan anggota ALEPS di seluruh Malaysia, termasuk mereka yang berkhidmat sebagai profesor di universiti.
Beliau turut menghargai peranan ALEPS dalam menggalakkan golongan muda Malaysia melanjutkan pengajian di Jepun serta mempromosikan pertukaran pendidikan dan budaya.
Duta besar itu menyifatkan Isrami sebagai antara contoh kejayaan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1982, khususnya menerusi sumbangannya dalam memperkukuh hubungan dua hala melalui pendidikan, aktiviti kebudayaan dan program akar umbi.
Di bawah kepimpinan Isrami, ALEPS menganjurkan pelbagai program termasuk pertandingan pidato bahasa Jepun, seminar pendidikan dalam talian dan acara kebudayaan bagi memupuk minat golongan muda Malaysia terhadap Jepun.
Shikata berkata acara tahunan ALEPS Ekiden, yang diinspirasikan daripada perlumbaan lari berganti-ganti jarak jauh tradisional Jepun, menarik penyertaan lebih 3,000 orang tahun ini, termasuk rakyat Malaysia dan warga Jepun yang menetap di negara ini.
Beliau berkata Isrami turut menyokong program inap desa bagi pelajar Sekolah Jepun Kuala Lumpur serta program pertukaran antara Subang Jaya, Selangor dengan bandar Hioki di Wilayah Kagoshima, Jepun.
Sementara itu, Isrami berkata Dasar Pandang Ke Timur membantu melahirkan ribuan rakyat Malaysia yang berjaya menjadi jurutera, ahli akademik, usahawan, golongan profesional dan pemimpin sepanjang lebih empat dekad pelaksanaannya.
"Namun, saya percaya tanggungjawab kita tidak terhenti setakat pencapaian peribadi," katanya.
Mengimbau pengalamannya menuntut di Jepun lebih tiga dekad lalu, Isrami berkata antara pengajaran paling berharga yang dibawanya pulang bukan semestinya diperoleh di dalam bilik kuliah, sebaliknya menerusi nilai yang diamalkan masyarakat Jepun.
Nilai itu termasuk disiplin, kerendahan hati, ketekunan, sikap menghormati orang lain dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap masyarakat.
"Begitu juga, ukuran sebenar kejayaan kita bukanlah sejauh mana kita mencapai kedudukan yang tinggi, tetapi berapa ramai yang dapat meraih manfaat daripada kejayaan yang kita kecapi," katanya.
Isrami berkata ALEPS akan terus memperkukuh jaringan alumninya, membimbing generasi akan datang serta memanfaatkan ilmu dan nilai yang diperoleh dari Jepun demi kepentingan kedua-dua negara.
Beliau turut merujuk tema sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027, iaitu “Enriching Each Other, Creating Together”, sambil menyatakan bahawa kedua-dua negara boleh terus mewujudkan peluang untuk generasi akan datang.
Isrami, yang dilantik sebagai Naib Presiden ALEPS pada 2012 sebelum menjadi presiden pada 2022, menerima anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam memperkukuh persahabatan dan persefahaman antara Malaysia dan Jepun.
Beliau merupakan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dipilih menerima anugerah itu pada 2026, yang diberikan kepada 159 individu dan 67 kumpulan di seluruh dunia atas pencapaian cemerlang dalam hal ehwal antarabangsa.
Seorang lagi penerima dari Malaysia ialah pendidik dan penggerak pertukaran budaya Gary Tang Kok, yang menerima anugerah daripada Shikata pada majlis berasingan pada 17 Okt lalu.
-- BERNAMA