PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah memiliki integriti, bertanggungjawab serta prihatin terhadap masyarakat, titah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertitah kecekapan profesional perlu disertai dengan sikap berintegriti dan prihatin terhadap orang lain bagi mempersiapkan graduan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh teliti.
“Perkara ini penting kerana universiti diamanahkan untuk mendidik golongan muda yang keputusannya akan mempengaruhi kehidupan orang lain.
“Kita perlu membantu mereka membentuk pertimbangan yang wajar, rasa bertanggungjawab serta berupaya menggunakan ilmu untuk manfaat sejagat. Bagi UIAM, perkara ini meletakkan tanggungjawab khusus terhadap hubungan antara ilmu dan akhlak,” titah baginda pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Multaqa Al-Omani ke-2 dan Persidangan Antarabangsa Oman ke-10 2026 di sini hari ini.
Tengku Ampuan Pahang bertitah teladan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW harus dijadikan panduan bagi memelihara amanah, menunjukkan belas ihsan dan menghormati maruah orang lain, dengan nilai-nilai itu perlu diterapkan dalam institusi serta keputusan seharian.
Pada masa sama, baginda menzahirkan rasa bangga kerana Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman yang pertama di luar Asia Barat serta pertama di Asia Tenggara ditempatkan di UIAM, sambil menyifatkannya sebagai satu penghormatan kepada universiti itu dan Malaysia.
“Penubuhan pusat ini menunjukkan keyakinan terhadap UIAM sebagai pusat keilmuan dan wadah pertemuan antara Oman dengan rantau yang lebih luas,” titah baginda.
Tunku Azizah juga berkenan menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Oman, Pejabat Ifta serta rakyat Oman kerana memilih UIAM sebagai lokasi pusat itu.
“Semoga pusat ini dapat melaksanakan penyelidikan mendalam, memperkenalkan warisan intelektual dan budaya Oman kepada khalayak baharu selain membuka peluang berterusan kepada sarjana dan pelajar kedua-dua negara untuk menimba ilmu serta kerjasama,” titah baginda.
Menyentuh mengenai warisan budaya, Tunku Azizah bertitah manuskrip perlu dipelihara dengan teliti dan diberikan fokus ilmiah secara berterusan, dengan universiti menyumbang menerusi usaha pemuliharaan, pendigitalan, penyediaan edisi yang sahih serta penterjemahan.
Tunku Azizah juga berkenan untuk berkongsi bahawa minat mendalam baginda terhadap manuskrip telah diterjemahkan menerusi tesis sarjana mengenai kajian Hukum Kanun Pahang di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) UIAM.
“Penyelidikan ini sebagai penghargaan daripada saya terhadap peranan manuskrip dalam memelihara kehidupan intelektual sesebuah tamadun, termasuk pemahaman mengenai undang-undang, pemerintahan dan tanggungjawab moral,” titah baginda.
Pada masa sama, Tengku Ampuan Pahang turut menekankan kepentingan kepimpinan wanita, dengan menyatakan bahawa golongan itu membawa ilmu, pertimbangan dan pengalaman yang memperkukuh institusi serta memperkaya kehidupan masyarakat.
Baginda turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkan sebagai wanita Melayu luar biasa dan perintis kepada generasi wanita untuk menceburi bidang perubatan serta perkhidmatan awam.
Tunku Azizah turut menyeru rakan industri, agensi kerajaan dan institusi supaya menyokong usaha penyelidikan UIAM menerusi sumbangan kewangan termasuk pembiayaan bagi memberi manfaat kepada pelajar serta masyarakat.
Dalam pada itu, baginda berharap persidangan tersebut dapat mengukuhkan hubungan Malaysia-Oman serta menggalakkan kerjasama berterusan dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan warisan budaya.
Persidangan Antarabangsa Multaqa Al-Omani ke-2 dan Persidangan Antarabangsa Oman Ke-10 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini dianjurkan Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman (ORSC) bersama-sama UIAM bagi memperkukuh kerjasama akademik, memupuk persefahaman budaya dan mempererat hubungan antara Malaysia dengan Oman.
-- BERNAMA