Am 19/10/2026 02:06 PM

Kerajaan Negeri Digalak Sedia Rumah Kos Rendah Dengan Solar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Negeri Digalak Sedia Rumah Kos Rendah Dengan Solar
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan setakat ini belum menyediakan bantuan khusus bagi pemasangan sistem solar untuk golongan berpendapatan rendah, sebaliknya menggalakkan kerajaan negeri mempertimbangkan pemasangan sistem itu di rumah kos rendah.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pendekatan itu boleh dicontohi daripada projek perumahan kos rendah di Pahang yang menyediakan sistem solar kepada pembeli rumah.

Beliau berkata di Pahang, kos pemasangan sistem solar dimasukkan dalam harga rumah, dengan kerajaan negeri turut membantu menampung sebahagian kos berkenaan.

“Sebagai contoh, di Pahang, bagi pembinaan rumah baharu jika harga rumah RM150,000, Menteri Besar membantu dengan menambah RM10,000 untuk pemasangan solar, menjadikan harga rumah RM160,000.

"Pinjaman yang diambil juga RM160,000, sekali gus membolehkan pembeli menggunakan sistem solar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai sama ada kerajaan bercadang menyediakan bantuan bersasar bagi mengurangkan bil elektrik atau mengecualikan bayaran pendahuluan pemasangan solar untuk golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata sebanyak RM150 juta diperuntukkan kerajaan bagi program SuRIA Home dengan rebat RM600 bagi setiap satu kilowatt arus ulang-alik (kWac) untuk pemasangan solar kediaman, tertakluk kepada maksimum RM3,000 bagi sistem sehingga lima kWac.

Program itu menyasarkan kira-kira 45,000 hingga 50,000 isi rumah, khususnya golongan M40 dan sebahagian B40 yang berkemampuan memasang sistem solar di kediaman masing-masing.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan program NUR MADANI yang menawarkan rebat RM200 kepada isi rumah domestik yang membeli penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga bertaraf empat hingga lima bintang.

Program itu katanya antara kempen untuk menggalakkan pengguna menjimatkan penggunaan elektrik.

Menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai punca peningkatan ketara bil elektrik dan sejauh mana mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) akan dikaji semula, Abdul Rahman berkata perkara itu telah dijelaskan secara komprehensif semasa sesi Kamar Khas pada 8 Okt lepas dan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada 15 Okt lepas.

"Kementerian bersama-sama Suruhanjaya Tenaga telah mengambil langkah awal untuk meneliti cadangan penambahbaikan mekanisme AFA sedia ada, termasuk pelaksanaan AFA berperingkat yang dirancang bermula pada 2027.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap keputusan berkaitan tarif elektrik dibuat secara seimbang supaya bekalan elektrik negara kekal mampu milik, terjamin dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA