Am 22/10/2026 02:07 PM

Sukan Para Asia 2026: Kar Gee Sumbang Emas Acara Lompat Jauh T12

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sukan Para Asia 2026: Kar Gee Sumbang Emas Acara Lompat Jauh T12
Atlet para olahraga negara, Wong Kar Gee. -- Kredit: Majlis Sukan Negara (MSN)

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Atlet para olahraga negara Wong Kar Gee meraih emas kelima negara di temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi acara lompat jauh T12 (masalah penglihatan).

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Kar Gee, 35, memperbaik pencapaian terbaiknya di temasya itu, iaitu pingat perak dalam acara sama pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Pada aksi di Mizuho Park Athletic Stadium, Nagoya City, atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mencatat lompatan sejauh 6.74 meter (m) pada percubaan kedua untuk meraih emas pertamanya pada temasya itu.

Pingat perak menjadi milik atlet Uzbekistan Sevinchbek Khusanov dengan catatan 6.54m manakala wakil tuan rumah Daiki Ishiyama membawa pulang gangsa selepas melakukan lompatan sejauh 6.48m.

Sementara itu, hasrat seorang lagi atlet lompat jauh para Mohd Arman Rosli untuk menyumbang pingat dalam kategori T36 (kecacatan fizikal) tidak kesampaian apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan lompatan terbaik sejauh 5.27m.

Pingat emas menjadi milik atlet China Yang Yifei dengan catatan 5.60m manakala dua atlet Uzbekistan Doston Kahhorov dan Izzat Turgunov masing-masing meraih perak serta gangsa selepas mencatat 5.42m dan 5.33m.

-- BERNAMA