PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia memastikan idea inovatif dan aspirasi komuniti diterjemahkan kepada tindakan nyata menerusi Inisiatif Geran Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF dengan peruntukan RM24,000 bagi melaksanakan tiga projek rintis terpilih.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif itu, yang diumumkan bersempena dengan Forum Bandar Malaysia 2026 (Malaysia Urban Forum - MUF2026 Accelerator), bertujuan menghasilkan penyelesaian praktikal berdasarkan keperluan sebenar masyarakat, sekali gus membawa manfaat langsung kepada komuniti setempat.
"Melalui MUF2026 Accelerator, kita membuka ruang kepada penduduk, belia dan kanak-kanak untuk menterjemahkan idea mereka kepada projek yang memberi manfaat kepada komuniti.
"Kita ingin menggalakkan penduduk setempat dan anak muda untuk mengambil bahagian dan mencipta bersama dalam proses pembangunan bandar masa hadapan kita," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian MUF2026 Accelerator di sini hari ini.
Beliau berkata kejayaan pembangunan bandar tidak seharusnya dinilai berdasarkan perancangan atau perbincangan semata-mata, sebaliknya melalui pelaksanaan idea yang mampu membawa perubahan bermakna kepada rakyat.
“Kejayaan MUF2026 bukan diukur berdasarkan jumlah sesi yang dianjurkan atau resolusi yang dihasilkan, tetapi sejauh mana idea-idea ini berjaya diterjemahkan kepada tindakan nyata dan membawa perubahan bermakna kepada negara,” katanya.
Bagi merealisasikan inisiatif tersebut, Nga berkata KPKT melalui agensinya, URBANICE Malaysia memperuntukkan geran sebanyak RM24,000 kepada pemenang yang ideanya terpilih untuk dilaksanakan.
Daripada jumlah geran RM24,000 itu, RM10,000 diperuntukkan bagi kumpulan akar umbi, RM10,000 untuk kumpulan belia dan RM4,000 bagi kumpulan kanak-kanak.
Pelaksanaan projek dijangka bermula November depan hingga April 2027, tertakluk kepada proses penilaian dan kelulusan berkaitan.
"Saya berharap geran ini bukan dilihat semata-mata sebagai nilai ringgit dan sen. Nilai sebenar geran ini ialah keyakinan kerajaan bahawa idea rakyat mempunyai tempat dalam pembangunan bandar.
"Kita mahu projek-projek ini menjadi bukti bahawa idea kecil yang datang daripada komuniti boleh menghasilkan perubahan yang besar," katanya.
Nga berkata Inisiatif Geran Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian berimpak tinggi dalam aspek peningkatan kualiti persekitaran bandar, kemudahan awam, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk.
Beliau berkata pendekatan sedemikian penting dalam menghadapi kepesatan pembandaran negara yang memerlukan perancangan lebih progresif, inovatif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
“Pada masa ini, kira-kira 76 peratus rakyat Malaysia menetap di kawasan bandar dan kadar pembandaran diunjurkan mencecah 85 peratus menjelang tahun 2040,” katanya.
Beliau berkata peningkatan itu menuntut perancangan menyeluruh bagi memastikan pembangunan fizikal seiring dengan penyediaan infrastruktur berkualiti, persekitaran selamat, kemudahan awam yang kondusif serta peningkatan taraf hidup masyarakat.
Bertemakan “Bandar Masa Hadapan yang Ingin Kami Diami”, MUF2026 Accelerator menghimpunkan lima kumpulan utama, iaitu wanita, belia, ahli akademik, komuniti akar umbi dan kanak-kanak bagi memastikan pandangan pelbagai lapisan masyarakat diambil kira dalam membentuk bandar masa hadapan.
Antara hasil utama yang disasarkan menerusi forum itu ialah penghasilan Seruan Tindakan MUF2026, pengenalpastian projek rintis berimpak tinggi, pengukuhan kerjasama strategik, penyediaan pelan pelaksanaan serta mekanisme pemantauan bagi menilai keberkesanan dan potensi peluasan inisiatif yang berjaya.
URBANICE Malaysia akan bertindak sebagai pemudah cara, penyelaras dan pemantau pelaksanaan projek rintis dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan projek terpilih dilaksanakan secara berkesan dan berpotensi diperluas ke kawasan bandar lain.
-- BERNAMA