Am 21/10/2026 04:14 PM

Malaysia Perkukuh Kerjasama Keselamatan ASEAN-Rakan Dialog Tangani Ancaman Jenayah Rentas Sempadan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Perkukuh Kerjasama Keselamatan ASEAN-Rakan Dialog Tangani Ancaman Jenayah Rentas Sempadan
Kredit : Laman Facebook Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama keselamatan dengan ASEAN dan rakan dialog bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian dan penyeludupan dadah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran Facebook berkata kerjasama itu memerlukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan merentas sempadan dan disokong oleh perkongsian maklumat, kerjasama operasi serta pembangunan kapasiti.

Menerusi hantaran itu, beliau memaklumkan mengetuai delegasi Malaysia dalam empat sesi konsultasi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) bersama dengan rakan dialog sempena AMMTC Ke-20 di Makati, Filipina.

Empat sesi itu ialah Konsultasi AMMTC Plus Three ke-16, AMMTC Plus China ke-13, AMMTC Plus Jepun ke-11 dan AMMTC Plus Republik Korea ke-7.

Dalam Konsultasi AMMTC Plus China ke-13, Saifuddin Nasution turut diberikan tanggungjawab sebagai pengerusi bersama dengan Penolong Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China Lyu Wuqin.

“Peranan ini menjadi satu lagi ruang penting bagi Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara  ASEAN dengan China, khususnya dalam menangani cabaran keselamatan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata perbincangan dalam semua sesi konsultasi memberikan tumpuan kepada perkembangan ancaman jenayah rentas sempadan dan usaha mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan menerusi kerjasama yang lebih erat.

Antara ancaman yang diberi perhatian ialah jenayah siber, penipuan dalam talian, penyeludupan dadah dan jenayah terancang yang semakin kompleks dan memerlukan tindak balas yang turut merentas sempadan.

Justeru, beliau berkata hubungan erat antara ASEAN dengan rakan dialog perlu diterjemahkan kepada kerjasama penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama keselamatan serantau dan antarabangsa bagi menjamin keamanan, kestabilan serta kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA