Am 19/10/2026 11:54 AM

Siti Nurhaliza Buktikan Irama Tradisional Punyai Tarikan Tersendiri, 63,000 Penonton Saksi Gema Bumantara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Siti Nurhaliza Buktikan Irama Tradisional Punyai Tarikan Tersendiri, 63,000 Penonton Saksi Gema Bumantara

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Walaupun hujan, kira-kira 63,000 hadirin yang memenuhi TM Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu malam, kekal terpaku menyaksikan kehebatan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menghidupkan muzik tradisional menerusi konsert Gema Bumantara.

Malah, kekuatan pengaruh penyanyi tersohor tanah air itu juga terbukti  apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak berganjak menyaksikan persembahannya, di sebalik kedinginan yang dibawa oleh hujan.

“Saya minta maaf, kerana kita merancang segalanya tetapi Tuhan menentukan. Saya tak boleh tahan hujan ini… Apa yang membuat saya terharu adalah kita berjumpa lagi selepas sembilan bulan (Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza).

Maju Johor

“Saya betul-betul tersentuh dan berterima kasih kerana kehadiran anda adalah bukti anda menyokong lagu irama tradisional. Sebenarnya, di akhir Konsert Legasi ketika saya cakap untuk jumpa di konsert tradisional, saya cuma cakap sahaja, tetapi kerana ada keinginan dan impian yang tinggi, akhirnya konsert ini jadi kenyataan,” kata penyanyi itu di hadapan penonton yang rata-rata datang berbusana tradisional Melayu.

Turut hadir memeriahkan acara Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, suami kepada Siti Nurhaliza Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Menyanyikan lebih 20 lagu dalam konsert berdurasi tiga jam 30 minit itu, penyanyi nombor satu negara ini tidak hanya mengangkat keindahan irama tradisional, malah tampil kreatif menerusi elemen persembahan yang menyerlahkan seni warisan tradisional termasuk permainan wayang kulit dan suasana kampung di pentas berprestij itu.

Maju Johor

Turut mencuri perhatian ialah kemunculan pelakon Izara Aishah yang tampil anggun di pentas dalam busana putih sambil menari ketika Siti Nurhaliza menyampaikan lagu Walinong Sari, sekali gus menyemarakkan lagi suasana berteraskan irama tradisional.

“Izara ada beritahu yang dia nak menari ketika konsert Mak Iti (Siti Nurhaliza). Saya pun cakap ‘eh, boleh!’ dan difikirkan, Izara memang suka lagu Walinong Sari, jadi kita jadikan dia ‘Puteri Walinong Sari’ pada malam ini,” kata ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

Persembahan pada malam itu disokong kehadiran penyanyi tempatan Haziq Rosebi, selain dua bintang ternama dari Indonesia iaitu Lesti Kejora dan King Nassar.

Maju Johor

Menghidupkan suasana di tengah-tengah konsert berskala besar itu, Siti Nurhaliza sempat mengelilingi stadium dengan menaiki beca yang dikayuh pelakon Zarif Ghazzi ketika menyampaikan lagu Kurik Kundi.

Peluang itu turut dimanfaatkan peminat untuk berswafoto dengan penyanyi kesayangan mereka di sebalik kawalan keselamatan yang ketat.

Suasana kemudian bertukar hiba apabila Siti Nurhaliza dilihat sebak ketika menyampaikan lagu Pesanan Buat Diri, membuatkan penonton juga turut sebak.

Maju Johor

Momen penuh emosi itu bagaimanapun tidak menjejaskan momentum konsert apabila penyanyi lagu Cenderamaya tersebut kembali mengawal emosi sebelum meneruskan persembahan dengan lagu hitnya yang lain.

Kemuncak persembahan turut menyaksikan kemunculan ratu irama Malaysia Noraniza Idris, yang bergandingan dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu popular mereka, Hati Kama, menamatkan penantian peminat untuk menyaksikan kedua-dua penyanyi itu menyampaikan lagu berkenaan bersama-sama selepas hampir 25 tahun.

“Siti jangan berhenti teruskan legasi irama Malaysia kita,” pesan Noraniza Idris yang mesra disapa Kak Ani ketika konsert itu. 

Maju Johor

Ketika Siti Nurhaliza menyampaikan lagu Balqis, penonton turut berdendang dan berjoget bersama-sama terutama pada bahagian “syahadah” yang bergema di seluruh stadium, sebelum biduanita itu mengakhiri konsert dengan lagu Nirmala dan Cindai.

Lagu-lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu termasuk Kesuma, Badarsila, Ya Maulai, Syurgaloka, Dondang-Dendang, Musalmah Manis, Rencong dan Masri Manis.

-- BERNAMA