KUCHING, 19 Okt (Bernama) -- Tahap pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) bernilai RM320 juta kini mencapai 90 peratus siap setakat Ogos dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga 2027.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata sebanyak 13 aktiviti, dilaksanakan menerusi Program Pengawasan Penyakit (DSP) SIDC di kawasan selatan negeri itu, disertai lebih 1,000 peserta.
“Aktiviti di Gedong Pangkor menandakan pelancaran makmal bergerak pertama SIDC. Program DSP juga akan diperluas ke lapan lokasi di Sarawak Tengah, termasuk Kapit, Sebauh dan Mukah pada tahun depan, bagi memperkukuh pengawasan penyakit serta intervensi kesihatan awam,” katanya.
Sagah berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Pada masa sama, Sagah berkata SIDC turut memulakan kajian rintis farmakogenomik menggunakan “PacBio” iaitu kaedah penjujukan genom manusia bagi mengenal pasti varian genetik yang berkaitan dengan tindak balas buruk terhadap rawatan tuberkulosis (batuk kering).
Beliau berkata kajian itu bagi menyokong pemberian rawatan antibiotik yang lebih bersasar berdasarkan profil genetik individu.
Sementara itu, Sagah berkata Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi World Robot Olympiad (WRO) Open Championship, pada tahun depan.
“Ini pencapaian penting bagi Sarawak dan mencerminkan perkembangan berterusan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta robotik di negeri ini.
“Penganjuran ‘WRO Open Championship 2027’ akan membuka peluang berharga untuk mengetengahkan bakat tempatan Sarawak pada peringkat antarabangsa, di samping mengalu-alukan penyertaan pelajar, pendidik, jurulatih dan peminat robotik dari seluruh dunia,” katanya.
-- BERNAMA