Am 19/10/2026 02:55 PM

UKM Lancar Enam Inisiatif Strategik Mantapkan Ekosistem Penyelidikan UKM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UKM Lancar Enam Inisiatif Strategik Mantapkan Ekosistem Penyelidikan UKM
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang (tiga, kiri) merasmikan Festival Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2026 (InnoFest 2026) dan meluncurkan Bulan Semarak Penyelidikan UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM hari ini.

BANGI, 19 Okt (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan enam inisiatif strategik bagi menguatkan ekosistem penyelidikan dan inovasi termasuk memperluas kerjasama dengan industri serta meningkatkan potensi pengkomersialan hasil penyelidikan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata inisiatif berkenaan merangkumi Pelancaran Teknologi UKM, platform UKMESG, Sistem UKM TechBridge, Pementoran Penyelidikan dan Inovasi Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU), tiga naskhah buku Gegar Gamat Pemacu Perubahan (GGPP) serta Sistem Penilaian Kumpulan Penyelidikan Universiti (MyKPU).

Beliau berkata Pelancaran Teknologi UKM menyediakan platform kepada penyelidik untuk mengetengahkan hasil inovasi kepada industri, pelabur dan rakan strategik manakala, UKMESG menyokong penggunaan kepakaran akademik dan teknologi dalam agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Kesemua inisiatif ini melengkapi usaha UKM membangunkan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih bersepadu, daripada pembangunan kepakaran kepada pemindahan teknologi dan pengkomersialan," katanya ketika berucap melancarkan Festival Inovasi UKM 2026 (InnoFest 2026) dan Bulan Semarak Penyelidikan UKM di sini, hari ini.

Chang berkata usaha itu penting bagi memastikan hasil penyelidikan lebih relevan dengan keperluan pasaran dan dapat dimanfaatkan oleh pengguna akhir.

“Penglibatan industri sejak peringkat awal penyelidikan amat penting bagi memastikan hasil yang dibangunkan memenuhi keperluan pasaran dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai penyelidik berkualiti dan kepakaran yang luas, namun cabaran utama adalah untuk memastikan hasil penyelidikan dimanfaatkan oleh pengguna akhir melalui kerjasama universiti dengan industri, budaya pengkomersialan dan keusahawanan teknologi serta peluang lebih luas kepada penyelidik muda.

"Saya menyambut baik pelaksanaan program seperti ini yang dapat menyemarakkan budaya penyelidikan secara berterusan melalui perkongsian ilmu, pameran hasil penyelidikan, jaringan kerjasama dan penglibatan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata UKM melancarkan 10 produk inovasi strategik hasil penyelidikannya bagi memperluas potensi pengkomersialan teknologi tempatan serta merapatkan jurang antara penyelidikan makmal dengan pasaran komersial.

Beliau berkata usaha itu menghimpunkan ekosistem penyelidikan yang melibatkan ahli akademik di semua pusat tanggungjawab universiti, rakan industri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelabur dan pemberi dana.

"Sinergi antara pembangunan penyelidikan, pemerkasaan kumpulan penyelidikan dan pengkomersialan hasil inovasi diyakini mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan UKM yang lebih bersepadu, berdaya saing serta memberikan impak kepada masyarakat dan negara," katanya.

Antara 10 produk yang dilancarkan ialah Fuci Birdnest Coffee, Air Quality Monitoring System (AirboxSense), Lung Xray, Halastin, Gynulin, ParafitGo, Peritocare 2.0, Novel Modified UKM Internal Bracing (MUIB), AquaTech UltraFlow dan Sahal Step.

Produk berkenaan merangkumi pelbagai bidang, termasuk minuman berasaskan inovasi bioteknologi, pemantauan kualiti udara, teknologi perubatan, rehabilitasi pesakit, penapisan air mudah alih serta permainan pendidikan bahasa Arab.

Sufian berkata pelancaran tiga inisiatif strategik utama, iaitu GGPP, Pementoran Penyelidikan dan Inovasi Kumpulan Penyelidikan Universiti (MentorKPU) serta MyKPU mampu menyokong pembudayaan ilmu, pembangunan dan kesinambungan kepakaran serta pengukuhan pengurusan prestasi penyelidikan UKM.

Beliau berkata selain pelancaran produk, InnoFest 2026 turut menyediakan platform pameran yang menghimpunkan syarikat dan teknologi daripada pelbagai bidang. 

"Penyertaan ini membuka ruang kepada penyelidik, syarikat, pemain industri dan bakal rakan strategik untuk meneroka potensi teknologi, membincangkan keperluan pasaran serta mengenal pasti peluang kerjasama dan pengkomersialan," katanya.

Beliau berkata rakan industri dan pelabur digalakkan meneroka teknologi, kepakaran serta harta intelek yang dibangunkan penyelidik UKM, selain membina hubungan lebih erat dengan universiti itu sejak peringkat mengenal pasti masalah, membangunkan penyelesaian hingga meneroka potensi penggunaannya bagi merungkai cabaran industri pada masa ini.

-- BERNAMA