Am 19/10/2026 09:56 AM

Keselamatan Siber Perlu Jadi Keutamaan Keselamatan Negara - Pakar

Oleh Erda Khursyiah Basir Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keselamatan Siber Perlu Jadi Keutamaan Keselamatan Negara - Pakar

Keselamatan siber tidak lagi boleh dianggap sekadar urusan teknologi maklumat (IT), sebaliknya perlu menjadi keutamaan keselamatan negara berikutan peningkatan ancaman kebocoran data, penipuan dalam talian dan pencerobohan sistem yang berpotensi menjejaskan kepentingan strategik serta kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.

Perkembangan teknologi digital yang semakin pesat termasuk kecerdasan buatan (AI), turut mengubah landskap ancaman berkenaan apabila penjenayah kini mempunyai lebih banyak ruang untuk memperdaya pengguna, mencuri maklumat dan mengeksploitasi kelemahan sistem komunikasi.

Dalam keadaan urusan pentadbiran, kewangan, perkhidmatan awam dan komunikasi harian semakin bergantung pada Internet, sebarang kelemahan dalam perlindungan data bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian kewangan kepada individu atau organisasi, malah turut membuka ruang kepada ancaman yang lebih besar terhadap keselamatan negara.

 

KESEDARAN MENINGKAT PERLU PERLINDUNGAN

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber (MCCA) Siraj Jalil, tahap kebimbangan masyarakat terhadap penipuan dan penggodaman menunjukkan kesedaran tentang ancaman siber semakin meningkat, namun keadaan itu belum semestinya disokong oleh perlindungan sistem yang mencukupi.

Maju Johor
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.

Beliau memetik laporan GSMA ASEAN Consumer Scam Report yang menunjukkan 96 peratus pengguna bimbang menjadi mangsa penipuan atau penggodaman, manakala 66 peratus telah mengubah tingkah laku harian bagi melindungi diri daripada ancaman berkenaan.

“Angka itu menunjukkan pengguna semakin menyedari risiko di ruang digital dan mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi tanggungjawab melindungi mereka tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu individu.

“Pendekatan yang hanya menyalahkan mangsa kerana terpedaya dengan penipuan tidak memadai memandangkan ancaman siber kini semakin kompleks dan melibatkan pelbagai kelemahan, termasuk dalam sistem perlindungan data serta mekanisme pengesahan transaksi,” katanya kepada Bernama.

Siraj berkata dalam hal ini, kebimbangan yang berterusan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap komunikasi digital.

Beliau merujuk laporan sama yang menunjukkan 41 peratus pengguna mengabaikan panggilan tidak dikenali, manakala 56 peratus mengelak panggilan masuk.

“Keadaan ini menggambarkan bagaimana ancaman siber boleh melangkaui kerugian kewangan dan menjejaskan urusan harian, termasuk komunikasi rasmi antara rakyat dengan agensi kerajaan serta institusi kewangan.

“Apabila masyarakat semakin sukar mempercayai panggilan atau mesej yang diterima, saluran komunikasi yang sah juga boleh terjejas, sekali gus menyukarkan penyampaian maklumat penting kepada orang ramai,” katanya. 

 

ANCAMAN SIBER, AI GENERATIF

Siraj berkata tanggapan umum sebelum ini bahawa keselamatan siber hanya melibatkan jurutera dan pakar IT perlu diubah kerana kelemahan manusia juga boleh menjadi pintu masuk kepada serangan yang mengancam keselamatan negara.

Menurut beliau, ancaman moden tidak semestinya memerlukan penjenayah menguasai kemahiran pengaturcaraan yang kompleks kerana mereka boleh mengeksploitasi kelemahan pengguna melalui penyamaran, manipulasi psikologi dan penipuan yang direka untuk kelihatan meyakinkan.

Maju Johor
Perkembangan AI memudahkan penjenayah memanipulasi pengguna melalui penyamaran dan penipuan yang lebih meyakinkan, sekali gus meningkatkan risiko kecurian identiti, penipuan kewangan dan pencerobohan sistem.

Beliau berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI)  generatif misalnya untuk menghasilkan pancingan data hiperperibadi, klon suara serta video manipulasi (deepfake), membolehkan penjenayah menghasilkan mesej penipuan yang lebih meyakinkan, meniru suara seseorang atau mencipta video palsu yang menyerupai individu sebenar.

“Keadaan ini menyukarkan orang ramai membezakan antara maklumat tulen dengan kandungan yang dimanipulasi, sekali gus meningkatkan risiko kecurian identiti, penipuan kewangan dan pencerobohan sistem,” katanya.

Tambah beliau, kelemahan seperti penggunaan kata laluan yang mudah diteka atau penyambungan kepada rangkaian yang tidak selamat, boleh membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengakses maklumat peribadi dan organisasi.

Menekankan ancaman seumpama itu perlu ditangani secara menyeluruh, Siraj berkata maklumat yang terdedah boleh dieksploitasi untuk mengganggu perkhidmatan awam, menjejaskan kepentingan strategik atau memanipulasi masyarakat.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan kerajaan, sektor industri dan pengendali platform digital memainkan peranan masing-masing dalam membina ekosistem digital yang lebih selamat, termasuk memperkukuh perlindungan data, mengekang iklan penipuan serta meningkatkan keupayaan mengesan dan menyekat transaksi mencurigakan.

“Pada masa sama, masyarakat perlu dilengkapi pengetahuan praktikal untuk mengenal pasti tanda-tanda penipuan dan mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat sebelum bertindak, khususnya apabila melibatkan permintaan wang atau maklumat sulit, katanya.

 

KEBOCORAN DATA JEJAS KEPERCAYAAN

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata keselamatan siber berkait rapat dengan kedaulatan negara kerana data dan maklumat kini menjadi sumber penting yang menyokong kegiatan ekonomi serta kehidupan masyarakat.

Maju Johor
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad.

Beliau berkata ancaman siber tidak lagi terbatas kepada usaha melindungi perkakasan komputer atau sistem dalaman sesebuah organisasi, sebaliknya turut melibatkan keselamatan komunikasi yang digunakan setiap hari untuk bekerja, berurus niaga dan berinteraksi.

Katanya, kebergantungan masyarakat pada Internet bermakna gangguan terhadap sistem komunikasi digital boleh memberi kesan berantai kepada pelbagai urusan termasuk penyampaian perkhidmatan dan aktiviti ekonomi.

“Pada zaman sekarang, maklumat dan data merupakan satu komoditi, ibarat satu sumber asli, satu bahan yang menjadi sumber kepada penghasilan ekonomi lain.

“Apabila berlaku kebocoran data sensitif atau ketirisan maklumat kerajaan, perkara itu boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, khususnya apabila maklumat berkaitan mereka yang sepatutnya dilindungi terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Mohd Khairie, kesan itu tidak terhenti pada hubungan antara kerajaan dengan rakyat, malah boleh mempengaruhi persepsi pelabur dan pihak luar terhadap keupayaan negara melindungi maklumat serta memastikan keselamatan operasi organisasi.

Beliau berkata kelemahan perlindungan data di sesebuah institusi juga boleh menimbulkan kebimbangan bahawa organisasi lain turut berdepan risiko yang sama.

Oleh itu katanya, keupayaan sesebuah negara mempertahankan data dan sistem digitalnya semakin menjadi antara ukuran penting daya tahan negara dalam menghadapi ancaman moden, selain keupayaan pertahanan konvensional.

 

SALAH GUNA TAMBAH KERUMITAN

Berpendapat pendekatan terhadap keselamatan siber juga perlu mengambil kira aspek komunikasi, khususnya ketika berlaku insiden kebocoran data atau penyebaran maklumat palsu, beliau berkata kelewatan memberikan penjelasan ketika krisis boleh mewujudkan kelompangan maklumat yang kemudiannya dipenuhi khabar angin, spekulasi dan dakwaan tidak berasas.

Maju Johor
Keselamatan siber penting bagi melindungi kedaulatan negara serta data yang menyokong aktiviti ekonomi dan komunikasi harian masyarakat.

Tambahnya, dalam persekitaran media sosial yang membolehkan sesuatu kandungan tersebar dengan pantas, keadaan itu boleh memburukkan krisis serta menjejaskan reputasi organisasi yang terlibat.

“Kerajaan dan organisasi korporat perlu memberikan maklumat yang tepat, jelas dan segera apabila berdepan insiden siber, tanpa mengabaikan keperluan melindungi maklumat sensitif yang masih dalam siasatan.

“Komunikasi yang telus membantu masyarakat memahami keadaan sebenar dan membuat keputusan secara rasional, sekali gus mengurangkan ruang untuk maklumat palsu mempengaruhi persepsi awam,” katanya.

Menyifatkan penggunaan AI dan media sosial secara tidak bertanggungjawab berpotensi menambah kerumitan ancaman apabila kandungan palsu dihasilkan dan disebarkan dengan mudah, beliau berkata perkara itu juga boleh mengundang kepada keletihan maklumat (information fatigue) apabila masyarakat sudah tidak lagi mampu menilai kebenaran dan berfikir secara rasional, sebaliknya hanya menerima apa sahaja yang dihidangkan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata usaha memperkukuh keselamatan siber turut menuntut penyedia platform digital untuk bersama-sama bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna.

“Selain itu, di samping meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam, kerangka undang-undang juga perlu diteliti secara berterusan agar kekal relevan dengan perkembangan teknologi.

“Ini termasuklah Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang menyediakan asas penting, namun pendekatan perundangan perlu terus diselaraskan seiring dengan perubahan teknologi dan ancaman digital,” katanya.

 

MEMPERKUKUH KEUPAYAAN TEMPATAN

Berkongsi pandangan, Pengarah Amalan Keselamatan Siber Aras Integrasi Sdn Bhd Faurani Jaafar berkata kebocoran maklumat sensitif kerajaan merupakan antara ancaman keselamatan siber yang boleh membawa implikasi melangkaui isu teknologi.

Maju Johor
Faurani (tiga dari kiri) dan Farul (empat dari kanan) pada Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026. (Gambar ihsan Aras Integrasi)

Beliau berkata kebocoran maklumat strategik, termasuk yang berkaitan dengan perolehan aset ketenteraan, boleh memberikan gambaran kepada pihak luar mengenai perancangan negara dan aset yang bakal diperoleh dalam tempoh tertentu.

“Walaupun kita melihat perkara ini daripada perspektif keselamatan siber, keupayaan untuk mencegah insiden seperti ini sebenarnya menyumbang kepada keselamatan negara.

“Sebagai contoh, sekiranya maklumat berkaitan perolehan aset ketenteraan terjejas, negara lain berpotensi mengetahui aset yang akan kita peroleh, justeru, keupayaan melindungi maklumat sedemikian menerusi inisiatif keselamatan siber dapat membantu menjaga kepentingan serta meningkatkan keselamatan negara,” katanya.

Ketua Pegawai Teknologi Aras Integrasi Farul Mohd Ghazali pula berpendapat Malaysia perlu membangunkan keupayaan dalaman yang mencukupi untuk menyiasat insiden siber tanpa bergantung sepenuhnya pada penyedia teknologi luar.

Menurut beliau, pembangunan teknologi tempatan bukan sekadar soal pemilikan, sebaliknya perlu merangkumi keupayaan mengendalikan, menyelenggara serta menambah baik teknologi kritikal secara berterusan menggunakan bakat tempatan.

“Matlamat akhirnya adalah untuk kita mendapatkan bakat terbaik di Malaysia dan memastikan mereka dapat membantu menghasilkan produk yang lebih baik.

“Dengan bakat yang kita miliki ketika ini, serta keupayaan dalam AI, apa yang kita ada sebenarnya setanding dengan teknologi dari luar negara,” katanya.

Sebagai usaha memperkukuh keupayaan teknologi tempatan, Aras Integrasi membangunkan tiga platform keselamatan siber, iaitu VoronCitadel, GovSec dan chainSENTRY bagi menangani pelbagai aspek risiko siber dan penyiasatan digital.

Kesemua platform itu dibangunkan menggunakan bakat dan teknologi tempatan dengan GovSec dibangunkan melalui kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia.

Pada 5 Okt lepas, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong ketika merasmikan Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026, berkata Malaysia perlu membina keupayaan teknologi sendiri, memperkukuh kedaulatan data dan memastikan keselamatan diterapkan dalam sistem yang dibina bagi merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.