Am 18/10/2026 10:40 PM

SOJC 2026: Young Tigers Bermula Langkah Kanan, Tewaskan China 3-0

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SOJC 2026: Young Tigers Bermula Langkah Kanan, Tewaskan China 3-0
Pemain hoki Malaysia Fahmi Suzaini (kanan) dikawal ketat pemain China Wang Yuexian (kiri) pada perlawanan Piala Hoki Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya.

JOHOR BAHRU, 18 Okt (Bernama) -- Skuad hoki remaja lelaki negara memulakan kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan China 3-0 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini malam ini.

Skuad Young Tigers membuka tirai jaringan seawal minit kelima hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain pertahanan Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof.

Memasuki suku kedua, Malaysia terus mengancam gawang lawan apabila pemain pertahanan Eswaran George hampir menambah duka China pada minit ke-21, namun percubaannya sedikit tersasar.

China cuba bangkit dengan melancarkan serangan dua minit kemudian, namun hantaran Sun Jingran gagal disudahi Ao You.

Skuad Young Tigers sebaliknya menambah gol apabila Muhammad Nabil Irfan menggandakan jaringan pada minit ke-28.

Aksi pada suku berikutnya menyaksikan skuad remaja negara terus meningkatkan asakan untuk melebarkan jumlah jaringan.

Young Tigers bagaimanapun perlu menunggu hingga suku terakhir sebelum memperoleh gol ketiga hasil jaringan padang pemain tengah Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill pada minit ke-57.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Dalam satu lagi perlawanan pada 5 petang tadi, Pakistan menewaskan Kanada 6-2.

-- BERNAMA