Am 21/10/2026 03:04 PM

MOTAC Pergiat Pemasaran Digital, Manfaatkan Pempengaruh Tarik Pelancong Ke Inap Desa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MOTAC Pergiat Pemasaran Digital, Manfaatkan Pempengaruh Tarik Pelancong Ke Inap Desa
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempergiat pemasaran digital bersasar dan menganjurkan program lawatan suai kenal melibatkan pempengaruh media sosial bagi meningkatkan daya tarikan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata program itu mampu meningkatkan pendedahan terhadap program inap desa Malaysia, terutamanya kepada pelancong antarabangsa.

“Tourism Malaysia menjalankan lawatan suai kenal bagi membolehkan pempengaruh mendapatkan pengalaman kehidupan kampung, seni, warisan serta budaya tempatan dan kami percaya ini akan meningkatkan pendedahan antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Chiew menjawab soalan tambahan Zahari Kechik (Jeli) berhubung usaha MOTAC meningkatkan pemasaran PPHM di Kelantan memandangkan jumlah pelancong antarabangsa yang menyertai program itu masih rendah berbanding pelancong domestik.

Beliau berkata MOTAC turut menggalakkan kerjasama antara kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta bagi memperkukuh daya saing pengusaha inap desa termasuk melalui akses kepada pembiayaan serta program sokongan.

Beliau berkata kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula memberi pendedahan kepada pengusaha mengenai peluang untuk meningkatkan daya saing perniagaan dan mendapatkan geran sokongan.

Kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pula menurut beliau membuka peluang kepada pengusaha inap desa untuk meneroka program agropelancongan, sekali gus mempelbagaikan aktiviti yang ditawarkan yang meningkatkan pendapatan mereka.

-- BERNAMA