Am 21/10/2026 03:00 PM

Lima Kapal Persiaran Antarabangsa Buat Kunjungan Pertama Di Pulau Pinang Mulai Oktober Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lima Kapal Persiaran Antarabangsa Buat Kunjungan Pertama Di Pulau Pinang Mulai Oktober Ini
Kredit : Laman Facebook Dato' Seri Tiong King Sing

GEORGE TOWN, 21 Okt (Bernama) -- Lima kapal persiaran antarabangsa dijadualkan membuat persinggahan pertama di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini antara Oktober hingga Disember tahun ini, dengan kapasiti penumpang keseluruhan melebihi 10,000 orang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata lima kapal berkenaan ialah Navigator of the Seas, Villa Vie Odyssey, Adora Mediterranea, Star Seeker dan Celebrity Solstice, dengan Navigator of the Seas dijadualkan menjadi kapal pertama tiba pada 30 Okt, pada 2.30 petang.

“Perkembangan ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia untuk mengembangkan pasaran pelancongan kapal persiaran antarabangsa menerusi kerjasama lebih erat dengan pengendali kapal persiaran, agensi pelancongan sewaan khas kapal persiaran dan rakan industri pelancongan.

“Tourism Malaysia terus mempergiat usaha mempromosikan pelancongan kapal persiaran dengan menjalin hubungan aktif bersama syarikat kapal persiaran antarabangsa, agensi pelancongan sewaan khas kapal persiaran dan rakan industri lain bagi memastikan Malaysia dimasukkan dalam lebih banyak jadual perjalanan kapal persiaran serantau serta antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tiong berkata bagi menyambut ketibaan pertama kapal-kapal berkenaan, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd merancang menganjurkan aktiviti sambutan bagi setiap kapal, termasuk persembahan kebudayaan, pemberian cenderamata bertemakan Pulau Pinang dan promosi pelancongan.

Beliau berkata aktiviti berkenaan akan memberi peluang kepada pelawat antarabangsa untuk merasai sendiri budaya tempatan Pulau Pinang sebaik tiba manakala majlis sambutan itu turut melengkapi usaha promosi Tourism Malaysia dengan memperkenalkan Pulau Pinang dan destinasi lain di seluruh negara kepada penumpang kapal persiaran, sekali gus menggalakkan mereka melanjutkan tempoh penginapan di Malaysia dan mendorong kunjungan semula.

Beliau turut menyifatkan persinggahan pertama Adora Mediterranea sebagai perkembangan positif susulan pertemuan beliau dengan pihak pengurusan Adora Cruises ketika lawatan ke Shanghai pada Mei lepas.

Menurut Tiong, perbincangan berkenaan merangkumi pembangunan laluan kapal persiaran di Asia Tenggara, kemudahan pelabuhan, produk lawatan darat dan kerjasama pelancongan kebudayaan serantau.

Adora Cruises turut mengumumkan Adora Mediterranea akan mengendalikan lapan pelayaran kapal persiaran antarabangsa dari Pelabuhan Klang antara 24 Nov hingga 19 Dis, dengan jadual perjalanan meliputi Pulau Pinang, Langkawi, Phuket dan Nha Trang.

“Perkembangan itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rangkaian kapal persiaran serantau serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada pengusaha pelancongan tempatan untuk membangunkan pakej pelayaran, lawatan darat dan perkhidmatan berkaitan.

“Pelancongan kapal persiaran berpotensi menjana manfaat ekonomi yang melangkaui operasi pelabuhan, khususnya kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan tempatan, restoran, peruncit, pengusaha pelancongan dan tarikan kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu, menerusi Tourism Malaysia akan terus bekerjasama dengan pengendali kapal persiaran antarabangsa, agensi pelancongan, pihak berkuasa pelabuhan dan pemain industri pelancongan tempatan bagi menarik lebih banyak laluan kapal persiaran dan persinggahan di pelabuhan, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia dalam pasaran pelancongan kapal persiaran antarabangsa.

-- BERNAMA