Am 18/10/2026 01:10 PM

Rawatan Air, Biosekuriti Tumpuan NEKMAT Kawal Risiko Ternakan Udang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rawatan Air, Biosekuriti Tumpuan NEKMAT Kawal Risiko Ternakan Udang
Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) memberi tumpuan kepada rawatan air, sanitasi peralatan dan pemantauan pekerja mahir bagi mengurangkan risiko penyakit dalam projek ternakan udang di Badong, yang pernah berdepan penyakit Early Mortality Syndrome (EMS) dan Enterocytozoon hepatopenaei (EHP).

[EMS merupakan sindrom kematian awal udang, manakala jangkitan parasit EHP membantutkan tumbesaran udang]

Pengurus Besar Azrin Shah Ismail berkata prosedur operasi standard dilaksanakan sejak peringkat persediaan kolam, termasuk pembasmian kuman pada lapisan geomembran polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), rawatan air ternakan serta pembersihan peralatan.

Beliau berkata penggunaan bahan rawatan mengikut dos yang dibenarkan dan bakteria probiotik turut membantu mencegah penyakit serta mengurangkan risiko kematian benih.

“Walaupun projek menggunakan bantuan mekanisasi untuk memudahkan penjagaan harian kolam seperti auto-feeder, pemantauan oleh pekerja mahir masih diperlukan sebagai langkah bagi meningkatkan kualiti hasil ternakan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Menurutnya, pengalaman menghadapi EMS dan EHP sepanjang operasi ternakan melibatkan kematian udang secara perlahan serta tumbesaran terbantut.

Di peringkat nasional, Jabatan Perikanan Malaysia dalam kenyataan pada 13 Jun lepas memaklumkan kawalan biosekuriti di pintu masuk negara terus diperkukuh bagi mengurangkan risiko kemasukan penyakit akuakultur seperti EMS dan white spot syndrome virus (WSSV) yang berpotensi menjejaskan produktiviti sektor berkenaan.

Dalam peluasan fasa ketiga projek itu, satu daripada 10 kolam diperuntukkan untuk rawatan air bagi membekalkan sumber air masin terawat kepada sembilan kolam ternakan.

Selain kawalan penyakit, Azrin Shah berkata makanan ternakan merupakan komponen penting kos pengeluaran, dengan benih udang ketika ini diperoleh daripada pengeluar sekitar Nenasi dan Kuala Rompin.

“Peratusan kos makanan ternakan kebiasaannya antara 30-40 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran,” katanya sambil memaklumkan harga makanan yang diperoleh adalah sekitar RM4.80 hingga RM5.20 sekilogram.

Mengenai kemungkinan membangunkan pusat penetasan sendiri, beliau berkata langkah itu memerlukan pelaburan tinggi, kemahiran khusus dan lokasi sesuai, terutama dari segi sumber air masin, sedangkan kawasan projek NEKMAT terhad kepada Lot 5 Badong.

“Pembangunan pusat penetasan merupakan satu pelaburan agak tinggi dan memerlukan kemahiran dan kepakaran yang bagus untuk menghasilkan benih atau post-larva (pL) yang berkualiti dan sustain. 

“Memiliki pusat penetasan merupakan satu perancangan yang bagus kerana boleh mengawal rantaian yang lengkap bagi proses ternakan selain memberi jaminan benih yang berkualiti,’ katanya.

Menyentuh soal penglibatan nelayan, Azrin Shah berkata penyertaan dalam akuakultur air masin lebih digalakkan menerusi program usahawan berkelompok atau pada peringkat pemasaran berikutan keperluan modal tinggi serta risiko operasi.

Sebaliknya, ternakan spesies air tawar seperti tilapia dan keli boleh dimulakan dengan modal lebih rendah, dengan sebahagian nelayan telah mengusahakannya secara individu bersama ahli keluarga, tambahnya.

-- BERNAMA