Am 17/10/2026 02:13 PM

UMPSA Kerjasama Dengan Move Robotic, Pix Moving Perkukuh Ekosistem Mobiliti Pintar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UMPSA Kerjasama Dengan Move Robotic, Pix Moving Perkukuh Ekosistem Mobiliti Pintar
Kredit: UMPSA

KUANTAN, 17 Okt (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjalin kerjasama strategik dengan Move Robotic Sdn Bhd dan Pixel Intelligence Co Ltd (PIX Moving) menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) bagi mempercepat pembangunan serta penerapan teknologi mobiliti pintar di Malaysia.

Naib Canselor UMPSA Prof Dr Yatimah Alias dalam kenyataan memaklumkan inisiatif berkenaan menggabungkan kepakaran ketiga-tiga pihak bagi membangunkan penyelesaian mobiliti pintar yang bersesuaian dengan keadaan jalan raya, corak pemanduan dan keperluan operasi di Malaysia.

“Nilai kerjasama ini terletak pada keupayaan yang dapat kita bangunkan bersama-sama. Pelaksanaan teknologi perlu disertai penguasaan pengetahuan, pengalaman teknikal dan keupayaan menyelesaikan masalah agar manfaatnya dapat menyumbang kepada pemerkasaan ekosistem mobiliti pintar negara,” katanya. 

Beliau berkata melalui lonjakan inovasi dan industri, pihaknya mahu kepakaran universiti dihubungkan dengan keperluan sebenar industri.

Ketua Pegawai Eksekutif PIX Moving Angelo (Chuan) Yu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMPSA Prof Madya Dr Muhammad Aizzat Zakaria serta Ketua Pegawai Eksekutif Move Robotic Mohd Hazeli Rasul bertukar dokumen MoA itu Khamis lepas bersempena dengan Paris Motor Show 2026 di Paris Expo Porte de Versailles, Paris.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Dalam kenyataan sama, UMPSA memaklumkan menerusi kerjasama itu, universiti berkenaan akan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah baik algoritma mobiliti autonomi supaya lebih sesuai dengan persekitaran jalan raya tempatan.

“Selain itu, data yang dikumpulkan sepanjang pelaksanaan projek akan dimanfaatkan bagi membantu algoritma memahami dan memberikan respons yang lebih baik terhadap corak pemanduan serta interaksi pengguna jalan raya di Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, pihak Move Robotic akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan RoboBus dalam persekitaran komersial sebenar bagi mendapatkan pengalaman operasi, mengenal pasti keperluan pengguna serta menilai cabaran dan penambahbaikan yang diperlukan untuk menyokong penerapan mobiliti pintar.

Menurut kenyataan itu, syarikat terbabit juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia untuk berkongsi input berdasarkan pengalaman operasi bagi menyokong pemantapan peraturan serta pembangunan garis panduan yang mengutamakan aspek keselamatan mobiliti pintar.

Dalam pada itu, pihak PIX Moving pula akan menyediakan platform kenderaan autonomi berserta kepakaran teknikal dan pengalaman dalam pengoperasian armada RoboBus secara komersial.

Sumbangan berkenaan menjadi asas kepada proses penyesuaian dan penilaian teknologi berdasarkan keperluan tempatan.

-- BERNAMA