Am 17/10/2026 11:34 PM

KPWKM Teliti Bantuan Kepada Keluarga Wanita Maut Dibunuh Suami Di Nilai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPWKM Teliti Bantuan Kepada Keluarga Wanita Maut Dibunuh Suami Di Nilai

KUCHING, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga wanita yang maut dibunuh suaminya di sebuah kuarters kakitangan kerajaan di Nilai, Negeri Sembilan semalam.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementerian akan memberi tumpuan kepada kebajikan anak-anak mangsa.

“Kita perlu memberi ruang kepada keluarga untuk berkabung terlebih dahulu, namun kita sentiasa bersedia untuk melihat keperluan keluarga berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Empowerus 2026 bertemakan “Empowering Leaders: Sustainable, Resilient and Ethical Leadership” di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata maklumat mengenai kejadian itu diterima kira-kira 8.30 malam Khamis selepas suami mangsa menyerah diri di balai polis.

Dalam pada itu, Nancy berkata KPWKM turut mempergiat usaha memperkasakan wanita melalui khidmat kaunseling, peningkatan kesedaran mengenai hak di sisi undang-undang serta pemerkasaan ekonomi.

“Kebebasan kewangan penting bagi membolehkan wanita berdikari, meningkatkan keyakinan diri dan mengelakkan mereka daripada terus terperangkap dalam situasi penderaan.

“Talian Kasih bukan sahaja menyediakan bantuan berkaitan penderaan, malah turut menjadi saluran bagi individu dan kanak-kanak yang berdepan masalah keluarga,” katanya.

Nancy berkata penggunaan Talian Kasih turut meningkat dengan 104,784 penggunaan direkodkan setakat Oktober tahun ini berbanding 78,437 dalam tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara setakat Ogos tahun ini.

-- BERNAMA