Am 17/10/2026 10:21 AM

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan US$4,115 Hingga US$4,315 Minggu Depan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan US$4,115 Hingga US$4,315 Minggu Depan
Gambar Fail

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat US$4,115 hingga US$4,315 setiap auns troy pada minggu depan apabila peniaga beralih daripada aset selamat tradisional itu.

Ini berikutan kebimbangan yang makin ketara berkaitan tekanan pembiayaan dalam sektor kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kebimbangan yang pada awalnya menumpukan aspek kemampanan perbelanjaan modal berkaitan kecerdasan buatan (AI) sebaliknya kini makin menular pasaran kredit, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keadaan kewangan serta potensi impaknya terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Peniaga makin berpendirian berhati-hati manakala emas mencari sokongan sebagai instrumen lindung nilai dalam usaha menangani ketidakstabilan kewangan,” katanya kepada Bernama.

Emas juga berada di bawah paras penting teknikal pada US$4,225 yang menjadi penentu arah pergerakan harga pada minggu depan, katanya.

Beliau berkata jika tekanan kredit berkaitan AI dalam kitaran seterusnya mendorong pelabur mengutamakan pemeliharaan modal, (sebarang) penembusan berterusan yang melepasi paras itu juga boleh membuka peluang untuk mengulangi kenaikan yang lebih ketara.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak Oktober 2026 turun kepada US$4,187.30 setiap auns troy daripada US$4,196.10, November 2026 berkurangan kepada US$4,203.70 daripada US$4,212.40 manakala Disember 2026 susut kepada US$4,220.20 daripada US$4,228.90.

Kontrak Januari 2027, Februari 2027 dan April 2027 pula berkurangan kepada US$4,220.20 setiap auns troy daripada US$4,228.90 sebelum ini.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 365 lot daripada 547 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 149 kontrak daripada 161 kontrak.

Selain itu, harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,152.25 setiap auns troy mengikut penetapan harga oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 15 Okt, 2026.

-- BERNAMA