Am 17/10/2026 03:09 PM

TDM Semak Semula SOP Susulan Kes Anggota Ditahan Bersama Pistol, Peluru

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TDM Semak Semula SOP Susulan Kes  Anggota Ditahan Bersama Pistol, Peluru
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman (kanan) ketika ditemui media selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 206/26 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) hari ini. Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

PORT DICKSON, 17 Okt (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek tatatertib dan kawalan anggota.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk menambah baik prosedur sedia ada susulan kes membabitkan anggotanya yang ditahan bersama sepucuk pistol dan puluhan butir peluru serta cecair disyaki ketum di sebuah kem di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Setiap kali ada kejadian berlaku disebabkan tatatertib, kita akan semak semula SOP, mana jurang atau ruang yang perlu diperbaiki.

“Sama juga dalam kes ini, kita sentiasa memantau walaupun SOP sudah ada. Kita sentiasa melihat penambahbaikan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 206/26 membabitkan 1,485 perajurit yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman di sini hari ini.

Azhan berkata anggota berkenaan sedang menjalani latihan peralihan selama enam bulan dan dijadualkan menamatkan perkhidmatan dalam tempoh tiga bulan lagi.

Beliau berkata dia kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor bagi proses perbicaraan serta tindakan selanjutnya.

“TDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk menyalurkan maklumat yang diperlukan berhubung perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu, Malek Razak berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai prosedur dan tatacara siasatan tersendiri dalam mengendalikan kes membabitkan anggotanya bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.

Anggota berusia lingkungan 30-an itu sebelum ini dilaporkan ditahan bersama sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum di kawasan parkir kereta di kem berkenaan.

-- BERNAMA