PADANG BESAR, 17 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan Program Celik Desa anjuran Pertubuhan Cinta Bangsa dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menjadi platform memperkukuh penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid di negeri ini khususnya bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Matematik.
Penaung pertubuhan itu Prof Adjung Dr Khairul Anam Che Mentri berkata program yang bermula Ogos lepas itu melibatkan lima sekolah di kawasan Chuping dekat sini selain komuniti Siam di negeri itu susulan maklum balas penduduk kampung mengenai keperluan membantu murid yang masih menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas berkenaan.
“Lima sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Keteri, SK Batu Bertangkup, SK Panggas, SK Felda Chuping dan SK Guar Nangka. Setiap lokasi melibatkan hingga 25 murid dengan keutamaan kepada murid Tahap Dua, menerusi sesi pembelajaran secara bergilir yang memfokuskan bahasa Melayu dan Matematik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata program itu dilaksanakan hasil perbincangan dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri berdasarkan maklumat dan data yang diperoleh bagi mengenal pasti murid yang memerlukan bantuan tambahan.
Khairul Anam berkata program di sekolah kini memasuki minggu kesembilan manakala pelaksanaan dalam kalangan komuniti Siam Kampung Guar Nangka bermula sedikit lewat dan disasarkan berlangsung selama lima bulan bagi memastikan murid terus mendapat bimbingan termasuk ketika cuti sekolah.
“Pendekatan pembelajaran lebih santai dan menyeronokkan turut diterapkan bagi menarik minat murid dengan kerjasama tenaga pengajar yang sanggup meluangkan masa pada hujung minggu untuk membantu mereka,” katanya.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Perlis Mohd Nazri Baharin pula berkata program berkenaan merupakan usaha kerjasama yang bermanfaat dalam meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi murid khususnya dalam kalangan komuniti Siam di Guar Nangka.
Beliau berkata penguasaan bahasa Melayu yang baik penting bagi memastikan murid daripada pelbagai latar belakang dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Sementara itu, S.Sujatha, 37, berkata program itu memberi peluang kepada anak-anaknya mendapatkan bimbingan pembelajaran tambahan serta mengeratkan hubungan sesama murid dan tenaga pengajar.
Sujatha berkata keempat empat anaknya yang berumur antara enam hingga 12 tahun itu mula mengikuti program berkenaan pada pertengahan September dan mereka mula menunjukkan peningkatan dalam usaha memantapkan penguasaan 3M.
Vivit Echoy, 45, pula berkata dia melihat perkembangan positif dalam penulisan bahasa Melayu anak perempuannya yang kini berada di Tahun Empat.
“Bimbingan secara lebih dekat oleh tenaga pengajar membantu anak saya meningkatkan kemahiran menulis karangan, selain memudahkannya memahami pelajaran dengan lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA