Am 17/10/2026 01:47 PM

Dua Beranak Sesat Di Hutan Berhampiran Air Panas La Hulu Besut

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Beranak Sesat Di Hutan Berhampiran Air Panas La Hulu Besut

JERTIH, 17 Okt (Bernama) -- Dua beranak dipercayai tersesat ketika mencari akar kayu di hutan berhampiran kawasan rekreasi Air Panas La (La Hot Spring), Hulu Besut, di sini sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahim berkata Adam Adnan, 25, dan bapanya, Adnan Mohamad, 57, masing-masing dari Kulim dan Alor Setar, Kedah, menginap di Desa Landak Chalet, Kampung Padang Landak, di sini sebelum keluar kira-kira 7 pagi Khamis lepas untuk mencari akar kayu di kawasan hutan berkenaan.

Beliau berkata pada kira-kira 3.30 petang semalam, seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga memaklumkan mereka tersesat dan gagal menemui jalan keluar dari kawasan hutan itu.

“Kedua-dua lelaki berkenaan bagaimanapun tidak dapat dihubungi selepas panggilan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan ahli keluarga terhadap keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata susulan laporan yang diterima, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung.

Mohd Rozaime berkata usaha mengesan kedua-dua lelaki itu diteruskan bagi membawa mereka keluar dari kawasan hutan berkenaan dengan selamat.

Dalam pada itu, Mohd Rozaime berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak itu disambung 8 pagi tadi dengan kekuatan 38 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung. 

Beliau berkata pasukan penyelamat menerima maklumat bahawa Adam berjaya menghubungi keluarga dan menghantar lokasi terakhir mereka berada di kawasan hutan kira-kira 10 pagi tadi.

“Berdasarkan lokasi yang dihantar mangsa, pasukan penyelamat bergerak ke kawasan berkenaan untuk mengesan dan membawa keluar kedua-dua mangsa,” katanya.

Sementara itu, isteri Adam, Nur Aliah Zamin, 20, berkata suami bersama bapa mentuanya masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk mencari akar kayu yang dipercayai mahu digunakan bagi merawat masalah saraf yang dialami bapa mentuanya. 

Beliau berkata kedua-dua beranak itu tiba di kawasan berkenaan pada Rabu lepas untuk mencari akar kayu selain bercuti. 

“Suami saya bekerja sebagai pembantu gerai di Kulim, manakala bapa mentua saya tidak bekerja,” katanya. 

Nur Aliah berkata beliau dimaklumkan kedua-dua mereka tidak membawa bekalan makanan ketika memasuki hutan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan mereka selepas dilaporkan hilang. 

-- BERNAMA