PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap seorang mahasiswa yang tular susulan tindakannya mengemukakan soalan “hangat” pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya kekal dengan pendirian bahawa hak kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa perlu dihormati, di samping mengecam sebarang bentuk cacian, penghinaan atau ugutan yang dilemparkan terhadap penuntut terbabit melalui media sosial.
"Pendirian saya jelas. Hormati hak mahasiswa untuk bersuara. Hak untuk mahasiswa sepertimana yang telah pun kita sebutkan, termasuk dengan perubahan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971) ini memberikan ruang kepada mereka untuk bersuara.
"Ruang kebebasan itu juga diharapkan dapat dilaksanakan dalam suasana yang penuh bertanggungjawab, dengan suasana penuh beradab dan juga berfakta," katanya dalam kenyataan yang dikongsi melalui Tiktok hari ini.
Pada program berkenaan mahasiswa berkenaan mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Mengulas mengenai dakwaan berlakunya ugutan, cacian dan kecaman terhadap mahasiswa berkenaan, Zambry berkata perkara itu tidak sewajarnya berlaku dan menasihatkan mahasiswa terbabit membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya meneliti hantaran serta akaun yang terlibat, termasuk kemungkinan akaun palsu digunakan.
"Kalau sekiranya berlaku mana-mana pihak yang cuba melakukan yang tidak baik, maka sewajarnya pelajar berkenaan boleh mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab ataupun pihak berkuasa," katanya.
Zambry turut menggesa semua pihak agar tidak mempolitikan isu berkenaan atau mengeksploitasi mahasiswa demi kepentingan agenda tertentu.
"Mohon juga kepada semua pihak supaya kita tidak menjadikan mahasiswa ini sebagai senjata untuk propaganda politik, sehinggakan beliau menjadi mangsa kepada perancangan-perancangan tertentu,” katanya.
-- BERNAMA