Am 20/10/2026 08:26 PM

TLAS 2026 Perkasa Inovasi Digital, Profesionalisme - Takaful

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TLAS 2026 Perkasa Inovasi Digital, Profesionalisme - Takaful

PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Industri takaful Malaysia kini memberikan lebih penekanan terhadap inovasi digital, pembangunan profesional dan kepercayaan pelanggan dalam usaha memperkukuh peranan ejen takaful dalam landskap kewangan yang semakin dipacu teknologi.

Perkara itu menjadi antara fokus utama pada Sidang Kemuncak Pemimpin dan Ejen Takaful (TLAS) 2026, anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) baru-baru ini, yang bertemakan “Lead the Next: Human Trust, Digital Edge, Takaful Excellence”.

Sidang kemuncak itu menampilkan perbincangan mengenai kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital, penjenamaan profesional dan pembangunan kepimpinan.

Antara pengisian utama TLAS 2026 ialah pelancaran Takaful Agent Professional Pathway (TAPP), iaitu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh kompetensi, meningkatkan standard profesionalisme dan menyediakan laluan pembangunan kerjaya yang lebih tersusun untuk ejen takaful di Malaysia.

Pelancaran TAPP ialah satu lagi langkah penting dalam usaha berterusan industri takaful untuk memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan profesional yang memainkan peranan utama dalam memberikan nasihat dan panduan kepada orang ramai berkaitan perlindungan kewangan.

TAPP diperkenalkan sebagai kerangka pembangunan profesional yang direka untuk menyediakan laluan lebih tersusun bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan ejen takaful, selaras dengan perkembangan landskap industri serta keperluan pengguna yang semakin kompleks.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata masa depan industri itu bukan  bergantung pada inovasi produk dan kemajuan teknologi semata-mata, tetapi juga keupayaannya melahirkan ejen yang profesional, berpengetahuan dan beretika.

“Teknologi dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, namun kepercayaan pelanggan menjadi tunjang kejayaan industri itu,” katanya pada TLAS 2026.

Beliau berkata menerusi TLAS 2026, MTA berhasrat melahirkan generasi baharu pemimpin dan ejen takaful yang bukan sahaja berusaha mencapai kecemerlangan perniagaan, malah menyedari tanggungjawab mereka sebagai penasihat perlindungan kewangan yang dipercayai. 

Penganjuran TLAS 2026 turut menyokong agenda Takaful for All, yang menumpukan usaha memperluas akses kepada perlindungan kewangan, meningkatkan kesedaran orang ramai dan memperkukuh daya tahan kewangan rakyat. 

Agenda sidang kemuncak itu turut merangkumi sesi bertajuk “AI Won't Replace Agent. Agent Using AI Will”, yang mengetengahkan kepentingan penggunaan teknologi yang semakin meningkat dalam kalangan profesional takaful.

Sesi lain menumpukan kepada pembinaan jenama profesional menerusi platform digital, usaha mendapatkan prospek melalui media sosial, kepimpinan dan pencapaian kecemerlangan Million Dollar Round Table (MDRT).

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian oleh pemimpin industri takaful yang memberikan pandangan, pengalaman dan perspektif berharga berkaitan usaha memperkukuh profesionalisme, serta memacu pertumbuhan industri takaful pada masa hadapan.

Sidang kemuncak itu turut mendapat sokongan Unifi, Prudential BSN Takaful Bhd dan AIA PUBLIC Takaful Bhd. 

-- BERNAMA