Am 16/10/2026 11:55 PM

JPN Gesa Hentikan Penyebaran Naratif Mengelirukan Mengenai Video Lama 2023

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JPN Gesa Hentikan Penyebaran Naratif Mengelirukan Mengenai Video Lama 2023

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan video Menteri Dalam Negeri mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang tular semula di media sosial  bukan kejadian baharu sebaliknya adalah sebahagian pengisian majlis sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.

JPN dalam hantaran di Facebook hari ini memaklumkan perkara itu telah dijelaskan secara rasmi sejak 25 Okt 2023 dan tindakan mengitar semula rakaman lama tanpa menjelaskan konteks sebenar boleh menimbulkan persepsi mengelirukan serta mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai, khususnya pengguna media sosial, digesa supaya lebih bertanggungjawab dalam menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum menyebarkannya.

“Hentikan tindakan mengitar semula isu lama dengan naratif yang mengelirukan. Hormati fakta, rujuk penjelasan rasmi dan jangan jadikan media sosial medan mencetuskan salah faham dalam masyarakat,” menurut jabatan itu.

JPN menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks sehingga mencetuskan polemik yang tidak berasas.

Menurut hantaran itu, JPN dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

JPN memaklumkan penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam pengupacaraan perkahwinan sivil berkenaan adalah sebahagian daripada pengisian majlis rasmi JPN pada 2023 dan perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan fungsi serta tanggungjawab jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“JPN turut berkongsi pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan aspek hukum syarak yang relevan sebagai rujukan masyarakat agar perkara ini dinilai berdasarkan fakta dan penjelasan pihak berautoriti, bukannya andaian atau tafsiran yang mengelirukan,” menurut jabatan itu.

Menerusi hantaran itu, JPN turut melampirkan kenyataan media bertarikh 25 Okt 2023 yang menjelaskan pendaftaran perkahwinan sivil dua pasangan di Pejabat JPN Putrajaya tidak melibatkan ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

-- BERNAMA