KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah mengetuai cabaran Malaysia apabila tiga pasangan negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2026, hari ini.
Pada aksi suku akhir di SJF Bank Arena, Odense, pasangan pilihan keempat Aaron-Wooi Yik menempah slot ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Jepun yang berada di ranking ke-41 dunia, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita, 21-16, 21-18 dalam tempoh 38 minit.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti Aaron-Wooi Yik pada aksi separuh akhir esok apabila mereka bakal berdepan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Dalam lima pertemuan terdahulu, Kim Won Ho-Seo Seung Jae mencatatkan tiga kemenangan, manakala Aaron-Wooi Yik memenangi dua perlawanan.
Sementara itu, Pearly-Thinaah mempamerkan ketenangan dan semangat juang tinggi apabila bangkit selepas tewas pada set pertama untuk menundukkan pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, yang berada di ranking ke-18 dunia.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu mengambil masa 56 minit untuk mencatat kemenangan 14-21, 21-17, 21-11, sekali gus melanjutkan rekod kemenangan berturut-turut mereka ke atas pasangan India berkenaan kepada lapan pertemuan.
Pasangan nombor lima dunia itu seterusnya akan berentap dengan pasangan pilihan keenam dari China, Bao Li Jing-Cao Zi Han, bagi merebut tiket ke final yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.
Kecemerlangan Malaysia di Odense turut diteruskan dalam acara beregu campuran menerusi Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan pasangan Jepun, Akira Koga-Natsu Saito, 21-15, 24-22.
Kemenangan dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan itu membolehkan Pang Ron-Pei Jing melangkah ke separuh akhir. Bagaimanapun, mereka bakal berdepan cabaran getir apabila dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila kempen mereka dalam acara beregu lelaki berakhir selepas tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dalam pertarungan sengit selama 55 minit.
Sze Fei-Nur Izzuddin bermula cemerlang dengan memenangi set pertama, namun gagal mengekalkan momentum sebelum akur dengan kekalahan 21-18, 18-21, 15-21 kepada pasangan China yang mempunyai ranking lebih tinggi.
-- BERNAMA