KOTA BHARU, 16 Okt (Bernama) -- Star City FC mencatat kemenangan bergaya 5-2 ke atas Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Penyerang Star City FC Muhammad Nur Azfar muncul watak utama apabila meledak hatrik untuk membantu pasukannya menguasai perlawanan berkenaan.
Pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan Muhammad Nur Azfar yang menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kiri.
Star City FC hampir mendahului seawal minit kedua, namun rembatan pemain import, Douglas Olivera, gagal menemui sasaran.
Pasukan pelawat terus memberi tekanan kepada benteng pertahanan tuan rumah sebelum menggandakan kelebihan menerusi tandukan pemain import, Pedro Santos, pada minit ke-44.
Muhammad Nur Azfar kemudian melengkapkan jaringan ketiga Star City FC pada masa kecederaan babak pertama menerusi penyudah hasil hantaran lintang dari sebelah kanan, sekali gus membolehkan pasuk
KRW FC cuba bangkit pada babak kedua apabila merapatkan kedudukan kepada 1-3 menerusi tandukan Muhammad Faudzi pada minit ke-51 selepas menyambut hantaran lintang dari sebelah kiri.
Bagaimanapun, Star City FC segera mematahkan kebangkitan tuan rumah apabila Muhammad Nur Azfar melengkapkan hatrik pada minit ke-59 menerusi rembatan dalam kotak penalti yang terkena pemain pertahanan sebelum menerjah gawang.
KRW FC enggan mengalah apabila Arham Khusyairi meledak gol kedua pasukannya menerusi rembatan kencang pada minit ke-69 untuk mengubah kedudukan kepada 2-4.
Namun, Star City FC memastikan kemenangan menjadi milik mereka apabila pemain import Ramon Macedo menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak kedua untuk melengkapkan kemenangan 5-2.
Kekalahan itu menyaksikan KRW FC terus gagal memburu kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas mengharungi enam perlawanan.
-- BERNAMA