Am 16/10/2026 10:42 PM

Raja Permaisuri Agong Berangkat Menyaksikan Persembahan Opereta Diraja

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raja Permaisuri Agong Berangkat Menyaksikan Persembahan Opereta Diraja
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (enam, kanan) bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (lima, kanan) dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tujuh, kanan) berkenan bergambar bersama para peserta pada Majlis Opereta: Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Dewan Konsert Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM, 16 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyaksikan persembahan Opereta Diraja: Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Dewan Konsert Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam malam ini.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah kira-kira 8.15 malam itu disambut Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@ Sahibuddin.

Turut berkenan berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin merangkap Pro-Canselor UiTM dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. 

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Opereta Diraja dianjurkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) bersama CTRA Production, Majlis Teater Selangor (MTS) dan Persatuan Teater Malaysia (PTM) bagi mengetengahkan sejarah keagungan Raja-Raja Melayu menerusi karya hikayat serta peristiwa bersejarah yang disesuaikan untuk mendekati generasi muda.  

Persembahan kira-kira satu jam itu melibatkan 70 individu, termasuk aktivis seni pentas, pelajar UiTM dan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas.

Penulis naskhah tersebut, Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan, yang juga Penyandang KIRRM berkata persembahan berkenaan mengetengahkan kisah daripada sumber sejarah termasuk sejarah Melayu melalui pendekatan lebih mudah difahami golongan muda.

“Antara peristiwa yang diketengahkan ialah waad antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, yang menggambarkan hubungan antara raja dengan rakyat, serta peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak (Perak) susulan penentangan orang Melayu terhadap penjajahan British. 

“Pementasan ini membawa penonton menelusuri kisah sejarah yang berkait dengan perjuangan, nilai kenegaraan dan jati diri bangsa,” kata Awang menerusi kenyataan hari ini.

Pementasan berkenaan turut menampilkan beberapa karya sajak dan syair antaranya Permainan Apakah Ini, Waadad Antara Raja dan Wakil Rakyat, Madah Jebat Ketika Rebah di Pangkuan Tuah, Nasib Warisan Mulia Bangsa dan Pasir Salak Darah Menggelegak. 

Awang berkata gabungan karya tersebut menyatukan unsur sastera, sejarah dan teater bagi menyampaikan naratif warisan Melayu dalam bentuk persembahan yang dekat dengan penonton.

“Ia juga antara usaha mengangkat peristiwa sejarah sebenar yang perlu diteruskan tanpa mengira masa dan usia agar generasi akan datang mengenali sejarah bangsa serta memahami nilai perjuangan serta jati diri mereka,” katanya.  

-- BERNAMA