ISTANBUL, 16 Okt (Bernama-Anadolu) -- Menteri luar dari 19 negara pada Jumaat mengecam sekeras-kerasnya tindakan Colombia merasmikan kedutaannya di Baitulmuqaddis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Luar Turkiye, menteri berkenaan menyatakan “penolakan secara mutlak” terhadap keputusan itu.
Mereka berkata langkah berkenaan melanggar resolusi berkaitan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara.
Kenyataan itu dikeluarkan menteri luar Turkiye, Malaysia, Algeria, Djibouti, Mesir, Indonesia, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.
Mereka menegaskan semula bahawa sebarang langkah atau keputusan yang bertujuan mengubah status perundangan atau sejarah Baitulmuqaddis yang diduduki, atau mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel, “adalah terbatal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan undang-undang.”
Mereka merujuk Resolusi 476 dan 478 Majlis Keselamatan PBB, kedua-duanya diterima pakai pada 1980, yang menolak percubaan untuk mengubah sifat atau status Baitulmuqaddis serta menggesa negara supaya memindahkan misi diplomatik masing-masing dari bandar itu.
Kenyataan itu menyifatkan Baitulmuqaddis sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.
Menteri berkenaan menggesa kerajaan Colombia mempertimbangkan semula dan menarik balik keputusan itu, mendukung kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa serta mengelakkan langkah yang boleh menjejaskan hak sah rakyat Palestin.
Mereka turut menegaskan semula sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
-- BERNAMA-ANADOLU