Am 16/10/2026 08:28 PM

Mohd Sani Antara 121 Warga KPKT Diberi Penghargaan Pada Majlis Malam Bakti KPKT 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mohd Sani Antara 121 Warga KPKT Diberi Penghargaan Pada Majlis Malam Bakti KPKT 2026
Kredit: FB KPKT Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul yang masih gagal dihubungi susulan tragedi banjir di Nepal baru-baru ini, antara 121 warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi penghargaan bersempena dengan  Majlis Malam “Bakti Disanjung Budi Dijunjung” KPKT 2026 malam tadi.

KPKT memaklumkan Mohd Sani telah menabur jasa dalam perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan negara selama lebih 30 tahun.

“Penghargaan kepada beliau merupakan tanda ingatan dan solidariti seluruh warga KPKT terhadap Mohd Sani serta keluarganya,” menurut kenyataan KPKT hari ini.

KPKT turut menzahirkan harapan agar segala usaha mendapatkan kepastian mengenai keberadaan beliau dipermudahkan, selain mendoakan agar keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan itu.

Daripada 121 warga yang diberi penghargaan itu, 10 masih aktif berkhidmat dan bakal bersara, manakala 11 lagi telah meninggal dunia.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi kenyataan itu berkata kecemerlangan KPKT ketika ini merupakan hasil jasa, dedikasi dan pengorbanan 22,000 warga kementerian yang menjalankan amanah dengan penuh integriti.

-- BERNAMA