Am 16/10/2026 06:53 PM

YSIJ Sumbang Mesin Gembur Tanah, Perkasa Projek Nanas Wanita Orang Asli Berasau

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
YSIJ Sumbang Mesin Gembur Tanah, Perkasa Projek Nanas Wanita Orang Asli Berasau
Kredit : FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan sebuah mesin penggembur tanah bagi membantu komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang mengusahakan projek tanaman nanas.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, sumbangan itu bertujuan memperkasakan sosioekonomi komuniti tersebut, khususnya golongan wanita yang menjadi penggerak utama projek penanaman 30,000 pokok nanas di kawasan seluas 1.21 hektar.

“Inisiatif berterusan ini membuktikan keprihatinan YSIJ, untuk memastikan komuniti luar bandar dan Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi berasaskan pertanian dan keusahawanan,” menurut hantaran itu.

Sumbangan jentera pertanian berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Operasi YSIJ (Bahagian Pembangunan Orang Asli) Marina Ibrahim kepada komuniti Orang Asli kampung itu, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Md Israk Abdullah, Penolong Pengarah Lembaga Nanas Negeri Johor Hashim Tohak serta Ketua Kampung Orang Asli Berasau Batin Sari.

-- BERNAMA