Am 16/10/2026 06:28 PM

Pelbagai Perkhidmatan Percuma, Jualan Rahmah Antara Tarikan PMK Kepayang Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelbagai Perkhidmatan Percuma, Jualan Rahmah Antara Tarikan PMK Kepayang Esok
Foto kredit : JAPEN Perak

IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Penukaran topi keledar dan minyak enjin motosikal secara percuma serta khidmat gunting rambut tanpa bayaran antara pelbagai tawaran menarik yang menanti pengunjung pada Program MADANI Kita (PMK) Kepayang 2026 di Dewan Greentown, di sini esok.

Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan program sehari bertemakan "Memaknai Harapan Rakyat" di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang itu bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam secara terus kepada rakyat dengan program bermula dari 7.30 pagi hingga 6 petang.

Program tersebut juga menawarkan pelbagai perkhidmatan dan bantuan percuma dari pelbagai agensi kerajaan yang memberikan impak langsung kepada ekonomi harian pengunjung. 

"Platform ini turut berfungsi sebagai medium komunikasi dua hala yang berkesan bagi menyebarkan maklumat rasmi berhubung isu semasa, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk mengemukakan pandangan, pertanyaan, dan maklum balas terus kepada pihak kerajaan," menurut kenyataan itu.

Menerusi program berkenaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan 400 unit topi keledar percuma untuk ditukar oleh pengunjung secara berperingkat pada sesi pagi dan petang, selain penukaran minyak hitam untuk 100 motosikal serta khidmat potong rambut percuma daripada skuad Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Kinta Utara.

Pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pemeriksaan kesihatan dan pergigian, agihan anak pokok, semakan Wang Tak Dituntut, penyerahan Bakul RAHMAH MADANI serta khidmat pembukaan dan penambahan akaun Simpan SSPN di kaunter Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

PTPTN Perak turut menawarkan insentif percuma RM200 di bawah Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) bagi anak kelahiran Perak, di samping pemberian cenderahati istimewa serta khidmat rundingan semakan dan bayaran balik pinjaman pendidikan.

Selain itu, Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak diadakan bermula dari 8 pagi hingga 5 petang, khusus untuk warganegara dengan tawaran penjimatan pelbagai barangan asas seperti beras, minyak masak, telur gred C, serta bekalan ayam, daging dan ikan segar.

Pelbagai aktiviti riadah dan kesenian turut diatur merangkumi Senam Seni, Pertandingan E-sukan, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Keluarga, Bintang Kecil, Kuiz Kenegaraan bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), gubahan bunga serta gubahan pulut kuning.

Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan artis PENTARAMA serta menghadiri sesi penerangan Pocket Talk tentang Belanjawan 2027 oleh JAPEN, Keselamatan Jalan Raya oleh JPJ, dan pertukaran al-Quran di bawah inisiatif "Pocket Talk: Jom Exchange Al-Quran" oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Program berkenaan turut diserikan dengan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi dijadualkan menyempurnakan Ziarah Kasih ke tiga rumah, Sesi Sembang Santai bersama-sama beliau, serta penyampaian Bakul RAHMAH dan cabutan bertuah utama.

Sesi sembang santai itu membuka ruang interaksi yang mesra antara pemimpin dengan masyarakat setempat, sekali gus menjadi medium penting mendengar keluh-kesah, memahami keperluan serta mendapatkan maklum balas akar umbi berhubung isu-isu yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.

“JAPEN Perak menaruh harapan agar Program MADANI Kita akan terus diangkat sebagai wadah utama dalam mempererat hubungan antara kerajaan dengan rakyat. 

“Inisiatif ini diyakini mampu memperluas capaian maklumat rasmi kerajaan, di samping memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berpaksikan keperluan serta kesejahteraan masyarakat secara holistik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA