ARAU, 16 Okt (Bernama) -- Tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menyumbang kepada pemulihan hasil melalui nilai lucut hak berjumlah RM698,255.55 sepanjang tempoh 2024 hingga tahun ini.
Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya turut membuka 65 kertas siasatan (KS) selain merekodkan 84 tangkapan dan 37 pertuduhan di mahkamah.
“Sebanyak 20 KS dibuka pada 2024 melibatkan 27 tangkapan dan 13 pertuduhan dengan nilai lucut hak RM323,872.55 manakala pada tahun lepas, 22 KS dibuka membabitkan 34 tangkapan dan 16 pertuduhan, dengan nilai lucut hak RM374,168.
“Setakat Januari lepas hingga kini pula, SPRM Perlis membuka 23 KS melibatkan 23 tangkapan dan lapan pertuduhan dengan nilai lucut hak RM215,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan perkara berkenaan dipersembahkan Mohd Nor Adha kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis perpisahan di Istana Arau di sini baru-baru ini.
Mohd Nor Adha berkata SPRM Perlis turut memberi penekanan terhadap aspek pencegahan melalui pengemukaan 61 Syor Penambahbaikan Tatakelola kepada jabatan dan badan berkanun di peringkat Persekutuan serta negeri.
“Usaha ini bertujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan integriti organisasi serta menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah,” katanya.
Beliau berkata komitmen dan kecemerlangan warga SPRM Perlis turut mendapat pengiktirafan menerusi beberapa anugerah antaranya Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya 2025 selain Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya 2024.
Mohd Nor Adha berkata SPRM Perlis turut meraih Anugerah Pengurusan KPI Terbaik 2025 dengan markah penilaian sebanyak 97.45 peratus, selain memperoleh tempat ketiga bagi Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik 2025.
“Pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan SPRM Perlis dalam mengimbangi tindakan penguatkuasaan dengan langkah pencegahan secara berterusan demi membentuk persekitaran pentadbiran yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mohd Nor Adha atas khidmat bakti serta komitmen beliau dalam menerajui SPRM Perlis sepanjang tempoh dua tahun tujuh bulan bermula 1 Mac 2024 hingga hingga esok.
Baginda turut mengucapkan tahniah atas kenaikan pangkat beliau dan pelantikan sebagai Pengarah SPRM Terengganu yang berkuat kuasa 18 Okt ini.
Raja Muda Perlis berharap pengalaman yang ditunjukkan sepanjang berkhidmat di Perlis akan menjadi bekalan berharga untuk meneruskan tanggungjawab baharu, di samping mengekalkan komitmen dalam memperkukuh integriti, tatakelola dan usaha membanteras rasuah demi kepentingan negara.
-- BERNAMA